Ecuador isytihar darurat lagi ketika penunjuk perasaan gesa rundingan


Orang Asli Ecuador terus mengadakan protes di ibu negara Quito menuntut kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup negara itu yang melambung tinggi. – Gambar EPA, 30 Jun, 2022.

ECUADOR melaksanakan darurat baharu pada Rabu ketika Orang Asli berarak di ibu negara Quito untuk meminta rundingan semula dengan kerajaan, selepas lebih dua minggu protes menentang peningkatan kos sara hidup.

Rundingan untuk menamatkan protes yang menggegarkan negara Amerika Selatan itu digantung pada Selasa selepas kerajaan menyalahkan  penunjuk perasaan atas kematian seorang askar.

Sementara penunjuk perasaan menuntut kembali ke meja rundingan, Presiden Guillermo Lasso mengisytiharkan darurat di empat daripada 24 wilayah di mana pejabat presiden berkata “kebanyakan keganasan tertumpu.”

Itu, bagaimanapun tidak termasuk ibu kota, di mana dianggarkan lebih 14,000 penunjuk perasaan berkumpul.

Melaungkan: “Kami tidak mahu duit, kami mahu hasil,” beberapa ratus orang berdemonstrasi di pusat bandar, berhampiran pejabat kerajaan, yang dihalang oleh polis dan pagar besi dan kawat duri.

Seorang penunjuk perasaan dengan ponco merah tradisional mengetuai sekumpulan lelaki dengan perisai sementara berkata kepada yang lain melalui megafon: “Kami akan duduk di sini sehingga Presiden Republik buat dialog.”

Lasso sebaliknya telah melaksanakan keadaan darurat selama sebulan ke atas wilayah Azuay, Imbabura, Sucumbios dan Orellana, kata setiausaha agung komunikasi presiden.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan “zon selamat” di sekitar telaga minyak negara dan melindungi bekalan makanan, ubat dan bahan api di wilayah tersebut, serta oksigen yang digunakan di hospital.

Lasso telah menarik balik keadaan darurat sebelum ini di enam wilayah lain – termasuk Pichincha, di mana ibu negara terletak –pada Sabtu dalam salah satu daripada beberapa konsesi kepada penunjuk perasaan. – AFP, 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen