Britain tambah bantuan ketenteraan kepada Ukraine


Jumlah bantuan ketenteraan Britain ke Kyiv sejak permulaan perang pada akhir Februari meningkat kepada £2.3 bilion. – Gambar EPA, 30 Jun, 2022.

BRITAIN menjanjikan £1 bilion lagi (AS$1.2 bilion) bantuan ketenteraan kepada Ukraine pada Rabu bagi membantu ia menangkis pencerobohan Rusia, termasuk sistem pertahanan udara dan dron.

Dana baharu itu akan menjadikan jumlah bantuan ketenteraan Britain ke Kyiv sejak permulaan perang pada akhir Februari kepada £2.3 bilion, kata Downing Street dalam satu kenyataan.

Pakej itu termasuk sistem pertahanan udara yang canggih, jentera udara tanpa kru, peralatan peperangan elektronik baharu yang inovatif dan ribuan keping kit penting untuk askar Ukraine, katanya.

Ini akan menjadi “langkah pertama” untuk membolehkan Ukraine melancarkan operasi serangan untuk mendapatkan semula wilayah.

Perdana Menteri Britain, Boris Johnson berkata serangan Vladimir Putin terhadap Ukraine “semakin biadab” kerana pemimpin Rusia itu gagal mencapai objektif diingini dan harapkan daripada perang ini.

“Senjata, peralatan dan latihan UK sedang mengubah pertahanan Ukraine terhadap serangan ini,” kata kenyataan itu.

“Dan kami akan terus berdiri teguh di belakang rakyat Ukraine untuk memastikan Putin gagal di Ukraine.”

Britain adalah antara negara pertama yang memberikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine seperti peluru berpandu anti kereta kebal sebagai tindak balas kepada pencerobohan Rusia. Ia juga terlibat dalam latihan askar Ukraine. – AFP, 30 Jun, 2022.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen