POLIS Ghana melepaskan gas pemedih mata dan menahan berpuluh-puluh penunjuk perasaan di ibu kota Accra semalam, selepas demonstrasi bantah kos sara hidup bertukar menjadi ganas.
Negara Afrika barat itu merana akibat kejatuhan ekonomi kerana pandemik dan ditambah kesan perang Russia di Ukraine, menyaksikan inflasi melonjak lebih 27% bulan ini – tertinggi dalam tempoh dua dekad.
Presiden Nana Akufo-Addo berada dalam tekanan untuk menangani kos harga makanan dan petrol yang tinggi.
Memakai baju merah dan hitam, ratusan penunjuk perasaan berkumpul di Accra, menyanyi dan memegang plakad tertera “Kami merana Akufo-Addo” dan “Kos hidup tinggi akan membunuh kami”.
“Kami tidak mampu makan tiga hari sekali. Tambang pengangkutan dan harga makanan terlalu mahal,” kata Baba Musah, yang bekerja membaiki telefon bimbit, dan turut serta dalam protes itu.
Polis berkata 29 penunjuk perasaan ditahan kerana melakukan serangan terhadap polis.
Protes itu dianjurkan kumpulan pendesak Arise Ghana, dan turut disertai ahli politik, termasuk pembangkang Sam George. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen