Pertubuhan pelajar adakan protes jika kerajaan tidak kekalkan subsidi


Ravin Palanisamy

Presiden Kesatuan Pelajar UIAM, Aliff Naif (tengah) bercakap ketika sidang media Gabungan Gerakan Mahasiswa di UIAM Gombak, Selangor, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh, Nazir Sufari, 29 Jun, 2022.

BEBERAPA pertubuhan pelajar hari ini memberi amaran kepada kerajaan yang mereka tidak akan teragak-agak turun ke jalanan jika Putrajaya terus mengendahkan tuntutan menurunkan harga barangan atau mengekalkan subsidi.

Presiden Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Aliff Naif berkata mereka menyenaraikan lima tuntutan kepada kerajaan, yang mahukan jawapan segera.

“Dengar permintaan kami atau kami akan turun padang,” kata Aliff pada sidang media di kampus UIAM di Gombak, Selangor, hari ini.

Aliff berkata mereka akan mengumumkan langkah seterusnya tidak lama lagi, yang menurutnya mungkin dalam minggu ini kerana kebanyakan subsidi akan dihapuskan mulai 1 Julai.

Antara lima tuntutan yang disenaraikan oleh mereka termasuk pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri.

“Gaji mereka tidak masuk akal. Dengan bilangan menteri Kabinet yang ramai, adalah lebih baik mereka menyahut tuntutan ini dengan menunjukkan solidariti kepada rakyat,” katanya.

Tuntutan lain yang dibuat adalah untuk menyediakan bantuan mencukupi kepada semua lapisan rakyat, mengekalkan subsidi semasa dan tidak mengurangkan sebarang subsidi lain, menyelesaikan isu keselamatan makanan, dan mengawal harga barangan dan makanan di universiti.

Ketika ditanya mengenai harga barangan dan makanan di kampus universiti, Ariff berkata ramai pelajar menghubungi mereka merungut kerana harga barang naik sejak kebelakangan ini.

“Kami bukan kumpulan bekerja. Jadi, kami tidak mempunyai pendapatan.

“Kenaikan harga benar-benar memberi kesan kepada kami dan pelajar dari pelbagai universiti juga memberitahu isu yang sama,” katanya.

Menyokong kenyataan Ariff, Ooi Guo Shen, presiden Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) juga berkata harga makanan di kafeteria meningkat sejak kebelakangan ini.

“Harga satu hidangan dahulu sekitar RM6 tetapi kini meningkat kepada RM7 hingga RM8,” katanya.

Sharifah I’Nur, ahli Demokrat Malaya pula berkata, harga barang dijual di kampus juga naik.

“Sabun mandi yang dijual di kedai koperasi kampus berharga RM6, yang kita bolehbeli pada harga RM3 di mana-mana sahaja di luar.

“Pelajar yang tiada pilihan untuk keluar terpaksa membelinya. Ia mungkin mudah tetapi harganya terlalu mahal,” katanya.

Sebanyak 20 kumpulan pelajar menandatangani bersama kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Antaranya Kongres UIAM, Virtue UIAM, Angkatan Mahasiswa UM, UMANY, Republican UKM, Suara Mahasiswa UMS, Angkatan Demokrat, Mahasiswa Keadilan Malaysia, Biro Muda Mahasiswa, Mahasiswa Roket dan Mahasiswa Amanah Nasional.

Kumpulan mahasiswa itu menyeru semua parti politik tanpa mengira pendirian agar menyertai gerakan ini agar dapat terus membela rakyat bersama-sama.

Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata pada 21 Jun, harga siling ayam akan dimansuhkan pada 1 Julai. 

Beliau juga mengumumkan penamatan harga siling bagi minyak sawit dalam botol 2kg, 3kg dan 5kg.

Ini mencetuskan kecaman yang menyebabkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menarik balik keputusan mengenai harga ayam dengan berkata ia tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan tidak lama lagi.

Harga siling minyak masak dalam botol tetap akan berakhir pada 1 Julai. Kerajaan hanya akan memberi subsidi kepada harga minyak sawit yang dijual dalam beg poli 1kg. – 29 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen