PORTAL berita Filipina yang diasaskan bersama oleh pemenang Anugerah Nobel Maria Ressa diarah tutup, kata syarikat itu semalam, sehari sebelum Presiden Rodrigo Duterte – musuh ketatnya, meletak jawatan.
Ressa selama ini memang lantang mengkritik Duterte dan perang dadah yang dilancarkan presiden itu pada 2016, di mana penyokong media berkata Ressa dan Rappler menjadi sasaran pertuduhan jenayah, siasatan dan serangan secara atas talian.
Tamparan terbaru itu dilaksanakan oleh Suruhanjaya Keselamatan dan Bursa Filipina.
Dalam satu kenyataan, ia mengesahkan arahan penarikan balik sijil pemerbadanan Rappler kerana kesalahan melanggar sekatan berkanun berkenaan pemilikan asing dalam media massa.
Rappler berkata keputusan itu mengesahkan penutupan syarikat itu dan akan membuat rayuan terhadap arahan itu.
“Kami mengadakan perbincangan terhadap semua keadaan yang mungkin berlaku bersama kakitangan Rappler sejak arahan pertama dikeluarkan pada 2018,” kata Pengarah Eksekutif dan Pengasas Bersama portal itu Glenda Gloria.
Rappler terpaksa berjuang untuk bertahan kerana kerajaan Duterte mendakwa ia melanggar larangan perlembagaan berkenaan pemilikan asing, bagi mendapatkan dana dan pembiayaan, selain mengelak cukai.
Ia juga dituduh melakukan fitnah siber – satu undang-undang jenayah baharu yang diperkenalkan pada 2012, tahun sama Rappler ditubuhkan.
Duterte menyerang laman web itu dan menggelar ia “outlet berita palsu”, berhubung satu berita membabitkan pegawai khasnya.
Ressa, yang juga warganegara Amerika Syarikat, dan seorang wartawan Russia Dmitry Muratov menerima anugerah Nobel pada Oktober atas usaha mereka melindungi kebebasan bersuara. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen