PRESIDEN Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Selasa menyatakan pendirian menyokong Sweden dan Finland menyertai Nato selepas rundingan penting dengan pemimpin dua negara Nordik di Madrid.
Erdogan sebelum ini enggan memberi lampu hijau kepada permohonan dua negara itu walau terdapat gesaan daripada sekutu Nato untuk menerima Finland dan Sweden.
Turkiye pada dasarnya boleh memveto Finland dan Sweden daripada menyertai Nato kerana semua ahli mesti bersetuju untuk mengambil ahli baharu.
Namun pada Selasa, pejabat Erdogan berkata ia telah bersetuju menyokong usaha mereka untuk menyertai, berkata Ankara telah “dapat apa yang dimahukannya”.
“Turkiye telah memperoleh keuntungan besar dalam memerangi organisasi pengganas,” kata pejabat itu menjelang sidang kemuncak Nato di Madrid.
Ankara telah menuduh Finland dan terutamanya Sweden menawarkan tempat selamat kepada militan Kurdish yang telah melancarkan pemberontakan selama beberapa dekad terhadap negara Turkiye.
Kedua-dua negara Nordik juga bersetuju untuk menarik balik sekatan mereka ke atas penghantaran senjata ke Turkiye, yang dikenakan sebagai tindak balas kepada pencerobohan tentera Ankara pada 2019 ke Syria.
Turkiye menandatangani memorandum dengan Finland dan Sweden pada Selasa menyokong jemputan bagi negara-negara Nordik untuk menjadi anggota Nato, kata presiden Finland.
Sekutu Nato termasuk Britain memuji perjanjian itu. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen