MAHKAMAH Jerman pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada bekas pengawal kem tahanan Nazi berusia 101 tahun, orang tertua setakat ini yang dibicarakan kerana terlibat dalam jenayah perang semasa Holocaust.
Josef Schuetz didapati bersalah kerana menjadi alat kepada pembunuhan melibatkan sekurang-kurangnya 3,500 kes semasa bekerja sebagai pengawal penjara di kem Sachsenhausen di Oranienburg, utara Berlin, antara 1942 dan 1945.
Dia berkemungkinan besar tidak akan dipenjara memandangkan usianya.
Pesara itu, yang kini menetap di Brandenburg, mengaku tidak bersalah, berkata dia “tidak buat apa-apa” malah tidak pernah bekerja di kem itu.
“Saya tidak tahu mengapa saya di sini,” katanya pada penutupan perbicaraannya pada Isnin.
Namun ketua hakim Udo Lechtermann berkata beliau yakin Schuetz bekerja di Sachsenhausen dan telah “menyokong” kekejaman yang dilakukan di sana.
“Selama tiga tahun, anda melihat banduan diseksa dan dibunuh di depan mata anda,” kata Lechtermann.
“Disebabkan kedudukan anda di menara pemerhati kem tahanan, asap krematorium di sentiasa masuk ke dalam hidung anda,” katanya.
“Sesiapa yang cuba melarikan diri dari kem telah ditembak. Jadi setiap pengawal terlibat secara aktif dalam pembunuhan ini.”
Lebih 200,000 orang, termasuk Yahudi, Roma, penentang rejim dan gay, telah ditahan di kem Sachsenhausen antara 1936 dan 1945.
Puluhan ribu banduan mati akibat kerja paksa, pembunuhan, eksperimen perubatan, kelaparan atau penyakit sebelum kem itu dibebaskan oleh tentera Soviet, menurut Memorial dan Muzium Sachsenhausen. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen