PERDANA Menteri Perancis Elisabeth Borne menggesa orang ramai memakai pelitup muka di tempat yang sesak, selepas pegawai kesihatan pada Selasa melaporkan peningkatan mendadak kes Covid sepanjang minggu lalu.
Kes positif melonjak sehingga 147,248 mengikut angka yang dikeluarkan pada Selasa, 54 peratus lebih tinggi berbanding minggu sebelumnya, dengan pakar merujuk kepada gelombang ketujuh virus di Eropah.
Borne berkata demikian selepas pertemuan dengan pegawai kanan kesihatan dan ketua pentadbiran wilayah Perancis.
Walaupun tidak lagi wajib memakai pelitup muka dalam pengangkutan awam, Borne berkata beliau mengesyorkan menggunakannya di tempat sesak atau dalam bangunan kerana kes melonjak.
Beliau juga mengingatkan orang ramai untuk kerap mencuci tangan, memastikan pengaliran udara bagus dalam tempat tertutup selain menggalakkan orang ramai mendapat maklumat terkini tentang vaksinasi mereka.
Mereka yang terdedah dan sesiapa sahaja yang berumur 60 tahun ke atas sudah mempunyai hak untuk mendapatkan vaksin penggalak.
Angka baharu itu yang tertinggi di Perancis sejak akhir April.
Setakat Selasa, Perancis sedang merawat 15,496 orang di hospital untuk Covid, berbanding 14,333 seminggu yang lalu. Daripada jumlah itu, 898 berada dalam unit rawatan rapi, berbanding 841 seminggu sebelumnya. – AFP, 29 Jun, 2022.
Komen