Iraq umum kematian taun pertama


Taun merupakan penyakit cirit-birit akut disebabkan oleh kuman. Orang ramai dijangkiti apabila mereka menelan makanan atau air kotor. – Gambar EPA, 29 Jun, 2022.

WABAK taun di Iraq meragut mangsa pertamanya pada Selasa, dengan 17 kes baharu direkodkan di negara itu dalam tempoh 24 jam, kata jurucakap kementerian kesihatan.

Kematian itu direkodkan di wilayah utara Kirkuk, kata jurucakap kementerian, Seif al-Badr dipetik sebagai berkata oleh media kerajaan.

“Sepanjang 24 jam lalu, 17 kes baharu dikesan, menjadikan jumlah keseluruhan 76 kes didaftarkan di Iraq sejak awal tahun ini,” katanya.

Wabak itu mula-mula dilaporkan secara rasmi awal bulan ini, dengan Kirkuk menyumbang satu daripada 13 kes yang disahkan pada masa itu.

Jangkitan lain kebanyakannya tertumpu di wilayah jiran Sulaimaniyah, di wilayah autonomi Kurdistan.

Wabak kolera di negara itu bermula sejak 2015, kata Badr sebelum ini, dengan wilayah tengah Baghdad dan Babil di selatannya paling teruk terjejas.

Taun adalah penyakit cirit-birit akut yang boleh dirawat dengan antibiotik dan penghidratan tetapi boleh membunuh dalam beberapa jam tanpa rawatan perubatan.

Ia disebabkan oleh kuman yang biasanya disebarkan oleh sanitasi yang buruk. Orang ramai dijangkiti apabila mereka menelan makanan atau air yang kotor.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, penyelidik menganggarkan bahawa setiap tahun terdapat antara 1.3 juta dan empat juta kes taun di seluruh dunia, yang membawa kepada antara 21,000 dan 143,000 kematian. – AFP, 29 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen