PAKATAN Harapan (PH) meringankan kenaikan kos sara hidup di negeri yang diperintahnya melalui diskaun sewa, ayam bersubsidi dan bantuan terus kepada petani dan nelayan, walaupun mereka mengkritik kerajaan persekutuan yang gagal menangani inflasi dengan berkesan, kata ahli Parlimen di Selangor dan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, apa yang boleh dilakukan oleh kerajaan negeri adalah terhad kerana sumber mereka juga terhad. Harga siling barangan makanan penting dan subsidi bahan api dikendalikan oleh Putrajaya, kata mereka.
Di Selangor, kerajaan pimpinan PKR sebelum ini menetapkan harga ayam pada RM8 sekilogram di bawah Program Intervensi Harga Makanan Ehsan yang menelan belanja hampir 1 juta ringgit di negeri itu, kata Ahli Parlimen Hulu Selangor Hasanuddin Mohd Yunus kepada The Malaysian Insight.
Kerajaan negeri turut mengurangkan caj sewa kedai di bangunan miliknya bagi membantu peniaga menjana pendapatan tambahan.
“Program ini bermula pada Disember dan masih diteruskan. Harga ayam lebih rendah daripada harga yang ditetapkan kerajaan pusat iaitu RM8.90 sekilo.
“Namun had program ini ialah kita tidak boleh menyediakan ayam RM8 sekilo itu ke setiap daerah di Selangor.
“Kami mempunyai sumber yang terhad tetapi masih cuba membantu,” kata Hasanuddin.
Hasanuddin adalah seorang daripada ahli jawatankuasa kos sara hidup PH. Jawatankuasa itu dua hari lalu menggesa Putrajaya mengekalkan harga siling semasa bagi ayam dan telur, serta subsidi minyak masak botol.
Ia juga meminta subsidi tambahan untuk penternak dan pengusaha ayam, bagi memastikan bekalan barangan ini berterusan.
Ini berikutan kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi pada 21 Jun yang harga siling ayam akan dimansuhkan pada 1 Julai.
Beliau juga mengumumkan harga siling minyak masak minyak sawit dalam botol ditarik balik bagi botol 2kg, 3kg dan 5kg.
Ia mencetuskan kritikan dan menyebabkan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob membatalkan keputusan mengenai harga ayam pada 24 Jun, berkata harga tidak akan diapungkan dan harga siling baharu akan diumumkan tidak lama lagi.
Harga siling untuk minyak masak dalam botol bagaimanapun, masih akan dihapuskan mulai 1 Julai, seperti diumumkan oleh Nanta.
Hanya subsidi kerajaan untuk minyak masak sawit yang dijual dalam peket beg poli 1kg pada harga RM2.50, akan kekal.
Di Pulau Pinang, Exco Dr Norlela Ariffin memberitahu The Malaysian Insight yang kerajaan pimpinan DAP membantu petani dan nelayan yang terjejas akibat kenaikan kos.
Exco agroteknologi negeri, keselamatan makanan, pembangunan luar bandar dan kesihatan, berkata ini dilakukan melalui program “pemerkasaan” untuk petani, nelayan, kumpulan B40 dan wanita B40.
“Petani diberi bantuan untuk menghasilkan makanan ternakan mereka sendiri supaya tidak perlu bergantung kepada import. Kami juga mempunyai subsidi untuk racun perosak sehingga 50% (kos).”
Norlela menambah, satu lagi projek melibatkan rancangan memperkenalkan ketam bakau kepada ternakan kerang di Pulau Pinang.
“Ini semua adalah inisiatif kami untuk membantu rakyat Pulau Pinang menjana pendapatan tambahan serta mengurangkan sedikit kos.
“Kami terhad dalam sumber sebagai kerajaan negeri, kami tetap berusaha untuk meningkatkan ekonomi rakyat Pulau Pinang,” kata Norlela.
Kenyataan Norlela itu disuarakan oleh seorang lagi exco Pulau Pinang, Abdul Halim Hussain, yang bertanggungjawab dalam perdagangan domestik dan antarabangsa, hal ehwal pengguna dan pembangunan keusahawanan.
Beliau berkata Pulau Pinang mungkin tidak dapat menurunkan harga barangan, kerana ia bidang kuasa kerajaan persekutuan, tetapi kerajaan negeri bertindak membantu golongan miskin secara langsung.
“Kami di peringkat negeri mencuba sedaya upaya untuk membantu rakyat dan menghasilkan inisiatif sendiri menggunakan wang negeri. Putrajaya juga perlu melakukan perkara yang sama untuk menyelesaikan krisis ini,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, daripada PKR dan seorang lagi ahli jawatankuasa kos sara hidup PH, berkata negeri tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan untuk bertindak terhadap kenaikan harga kerana mengambil untung.
Kuasa terletak pada kementerian persekutuan yang berkenaan, begitu juga kuasa untuk menetapkan harga siling dan subsidi di seluruh negara.
“Kerajaan negeri mempunyai sumber yang terhad, Putrajaya boleh memberi subsidi lebih besar manakala kerajaan negeri hanya boleh memberi sedikit.
“Apa yang penting ialah kerajaan persekutuan tidak boleh memansuhkan subsidi tetapi mereka perlu memberi lebih banyak,” kata Hassan.
Beliau menggesa kerajaan persekutuan menangani ketirisan subsidi petrol RON95, yang dihadkan kepada RM2.05, dan juga digunakan oleh golongan kaya.
Sementara itu, Hasanuddin dari Selangor berkata kerjasama antara kementerian diperlukan untuk menyelesaikan krisis harga makanan yang berterusan.
Terdapat juga cadangan penyelidik untuk mengurangkan kebergantungan kepada import yang perlu didengari oleh kerajaan, tambahnya.
“Kita perlu memberi tumpuan kepada makanan haiwan keluaran tempatan dan kerajaan mesti membantu petani dan penternak tempatan menghasilkan dedak dan bijirin.
“Oleh itu, apa yang diperlukan ialah kerjasama antara kementerian untuk membantu sektor-sektor ini, dan untuk membantu keseluruhan rantaian, daripada petani, kilang dan penjual, supaya kita dapat menyelesaikan masalah itu secara keseluruhan.”
“Maklum balas yang kami terima daripada pemain industri ialah tiada penyelarasan. Satu kementerian menyerahkan tugas kepada kementerian lain dan kemudian kepada kementerian lain daripada mencari penyelesaian,” kata Hasanuddin. – 29 Jun, 2022.
Komen