Sri Lanka makin getir, penjualan bahan api dihentikan


Sri Lanka umum penamatan semua penjualan bahan api selama dua minggu, kecuali untuk perkhidmatan penting. – Gambar EPA, 28 Jun, 2022.

SRI Lanka yang bergelut dengan masalah kewangan kini mengumumkan penamatan semua penjualan bahan api selama dua minggu, kecuali untuk perkhidmatan penting.

Kerajaan juga merayu kepada sektor swasta supaya membenarkan pekerja bekerja dari rumah selepas negara itu berdepan masalah kehabisan bekalan bahan api.

“Bermula tengah malam Isnin, tidak ada bahan api yang akan dijual kecuali untuk perkhidmatan penting seperti sektor kesihatan kerana kita mahu menjimatkan sedikit rizab yang ada,” kata jurucakap kerajaan Bandula Gunawardana.

Pada masa sama, beliau memohon maaf kepada pengguna kerana kekurangan yang berlaku.

“Kami minta maaf dengan ketidakselesaan dialami orang ramai,” katanya.

Sri Landa berdepan krisis ekonomi terburuk sejak mencapai kemerdekaan pada 1948 dan tidak dapat membiayai walaupun produk penting seperti bahan api, makanan, ubat-ubatan sejak hujung tahun lalu.

Negara itu turut merekodkan paras inflasi tinggi dan pemotongan bekalan tenaga berpanjangan sehingga mencetuskan protes berbulan-bulan lamanya, yang kadangkala bertukar ganas bagi memaksa Presiden Gotabaya Rajapaksa berundur.

Minggu lalu, semua sekolah kerajaan ditutup dan institusi kerajaan perlu beroperasi dalam jumlah kecil sebagai penjimatan penggunaan bahan api kerana kerajaan tidak mempunyai wang untuk membiayai urusan import.

Penutupan sektor kerajaan sepatutnya berakhir minggu ini, tetapi sekarang dilanjutkan sehingga 10 Julai depan. Ia selepas Gunawardana berjanji untuk memulihkan bekalan bahan api. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen