Susah untuk dakwa Duterte kes pembunuhan perang dadah Filipina, kata penganalisis


Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan puluhan ribu rakyat Filipina telah dibunuh oleh polis, pembunuh upahan dan pengawal, walaupun tanpa bukti mereka terlibat dalam dadah. – Gambar EPA, 28 Jun, 2022.

DASAR Presiden Filipina Rodrigo Duterte yang mengarahkan polis menembak mati suspek dalam perang dadah sehinga mengakibatkan kematian beribu-ribu rakyatnya sendiri itu susah untuk dihadapkan ke pengadilan, kata penganalisis.

Tindakan terkenal Duterte, yang akan melepas jawatan pada Khamis, untuk menghapuskan dadah di Filipina telah dikecam secara meluas dan mencetuskan siasatan antarabangsa terhadap kemungkinan jenayah terhadap kemanusiaan.

Bagaimanapun beliau masih sangat popular dalam kalangan rakyat Filipina yang menyokongnya, malah masih kekal sebagai kuasa politik yang kuat.

Keputusan pilihan raya bulan lepas mengukuhkan lagi benteng Duterte daripada kemungkinan pendakwaan selepas beliau meninggalkan jawatannya, kata penganalisis.

Ferdinand Marcos Jr, anak lelaki kepada mendiang diktator negara itu, menang jawatan presiden selepas mengadakan pakatan dengan anak perempuan Duterte, Sara, yang dipilih sebagai naib presiden.

Marcos Jr telah menyokong perang dadah Duterte dan memberi isyarat kerajaannya tidak akan bekerjasama dengan siasatan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap pembunuhan itu.

“Pilihan raya pada dasarnya memutuskan bahawa tidak akan ada penyiasatan serius terhadap peranan Presiden Rodrigo Duterte dalam perang dadah untuk enam tahun akan datang,” kata Greg Wyatt, pengarah risikan perniagaan di PSA Philippines Consultancy.

Sebagai pembunuh, Duterte memberitahu pegawai untuk menembak mati suspek narkotik jika nyawa mereka terancam.

Beliau mempertahankan tindakan keras itu, berkata ia telah menyelamatkan keluarga dan menghalang Filipina daripada berubah menjadi “negara politik narkotik”.

Data kerajaan menunjukkan lebih 6,200 orang telah terkorban dalam operasi antidadah polis sejak Duterte diangkat pada 2016.

Kumpulan hak asasi manusia menganggarkan puluhan ribu telah dibunuh oleh polis, pembunuh upahan dan pengawal, walaupun tanpa bukti mereka terlibat dalam dadah.

Hanya tiga anggota polis telah disabitkan kesalahan membunuh seorang suspek dadah.

Di bawah tekanan daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan ICC, kerajaan telah meneliti sekitar 300 kes operasi dadah yang membawa kepada kematian.

Setiausaha Kehakiman Menardo Guevarra memberitahu AFP pada Oktober semakan terhadap 52 kes telah menimbulkan keraguan ke atas tuntutan umum pegawai untuk mempertahankan diri.

Peguam yang mewakili keluarga mangsa berikrar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Duterte di Filipina selepas 30 Jun.

“Kami tidak begitu berharap tetapi ia patut dicuba,” kata Edre Olalia, presiden Kesatuan Kebangsaan Peguam Rakyat.

Olalia berkata ia boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk kes diselesaikan dalam sistem kehakiman. Malah peguam berjuang untuk mendapatkan akses kepada bukti yang dipegang oleh polis. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen