Bagaimana Esah, isteri Mat Kilau tertangkap Inggeris


Faisal Tehrani

SEBULAN dua ini saya percaya masyarakat akan sibuk membicarakan mengenai Mat Kilau. Tulisan ini bagaimanapun akan memperihalkan tentang Esah, isteri beliau, dan anaknya yang ditinggalkan di Kuala Lebir, Kelantan pada 20 Mei 1895, dan kemudian tertangkap oleh British pada hari berikutnya.

Rakaman keterangan Esah menarik untuk digali semula, khususnya dalam menjelaskan episod-episod akhir pertempuran antara orang-orang Pahang dengan Inggeris, dan bagaimana Mat Kilau berjaya melepaskan diri daripada diburu pasukan British.

Esah memulakan keterangan bahawa beliau menginap di Pulau Tawar dan tinggal di rumah Tok Gajah sehinggalah pemimpin tersebut menghilangkan diri. Esah mendakwa dirinya berhutang dengan Mat Kilau, tetapi tidak dijelaskan berapakah jumlahnya dan bagaimana beliau boleh terhutang dengan Mat Kilau tersebut.

Harus diingat, hamba berhutang masih menjadi satu kebiasaan di negeri-negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan tatkala itu.

Terdapat kemungkinan Esah adalah saudara mara kepada Tok Gajah memandangkan dalam keterangannya kepada Hugh Clifford sebagai pemangku residen pada 25 Julai 1895, Esah menjelaskan (terjemahan Clifford): “I was living at Pulau Tawar in To’ Gajah’s house when he bolted in August, 1892. I owed money to Mat Kilau.”

Esah menerangkan sekitar pertengahan tahun 1892 Tok Gajah sedang bersiap-siap untuk bertempur, sepulangnya dari Semantan. Menurut Esah pada satu malam yang gelap dan hujan agak lebat, beliau dikerah masuk ke dalam sebuah, daripada dua buah bot yang padat menuju Pulau Dari Dari.

Dari sini rombongan Esah dipaksa melalui jalan darat dari Jerantut menghala ke Tembeling. Perjalanan darat tersebut dipandu oleh Tok Muda Bakar.

Ternyata tatkala itu Esah belum jelas apa yang akan menimpa dirinya, dan tokoh-tokoh sejarah tersebut. Esah dan rombongannya ditahan oleh Mat Kilau, Pak Alang Jusup, Awang Budu dan Mamat Pah pada 20 Ogos, setelah diekori sejak dari Kedondong.

Mat Kilau memberitahu rombongan Esah yang mereka telah memenangi pertempuran di Bukit Kor pada 13 Julai, dan Kuala Chika pada 20 Julai. Mat Kilau malah mendabik dada yang Clifford telah terkorban.

Esah menceritakan bagaimana berlaku kekeliruan dalam rombongan Tok Gajah di Kuala Sat dan ramai daripada pengikutnya telah jatuh sakit. Bahkan anak-anak lelaki Tok Gajah juga ikut merungut. Ini berkemungkinan kerana pengikut kepada “pahlawan-pahlawan” ini terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki, khusus dari Changgut menyeberang Tenggiling.

Di Tenggiling, Esah dan lain-lain berkhemah selama sebulan. Mereka nyaris patah semangat setelah mendapat tahu daripada orang-orang Haji Mat Wahid di Galas, menerusi Dato Bahaman, yang orang-orang raja Pahang telah berpaling tadah dan bersekongkol dengan Inggeris. Malah berita Clifford tidak mati telah membuatkan mereka yang sedang melarikan diri itu dalam keadaan gemuruh.

Dato Bahaman menasihatkan orang-orang Tok Gajah agar tidak pulang ke Pahang. Oleh nasihat itu, rombongan Tok Gajah ini telah kembali ke Tenggiling, bergerak dua hari kemudian ke Kuala Aring dan menetap seketika di Relai untuk menanam padi.

Mereka tidak sempat menuai padi tersebut setelah diusir oleh raja Kelantan yang enggan mendapat masalah dengan British: “We also planted padi, but before it was ripe we were warned to move away by an official sent up by the Raja of Kelantan.”

Mereka kemudian beredar meninggalkan Relai untuk kembali ke Tenggiling. Di sini ramai pengikut Tok Gajah termasuk isteri-isterinya membuat keputusan untuk kembali ke Pahang dan menyerahkan diri kepada British. Ia juga meletakkan Tok Gajah dan anak-anaknya dalam keadaan dilema sama ada perlu menyerahkan diri atau kekal melarikan diri atau bersembunyi.

Tok Gajah bagaimanapun mendapat suntikan semangat daripada Ungku Sayid di Paloh. Ungku Sayid juga dikenali sebagai Sayid Rahman bin Sayid Muhammad al-Idrus atau Tok Ku Paloh. Tok Ku Paloh telah memberikan Tok Gajah dan orang-orangnya pelias (azimat) dan parang yang telah dikhatkan dengan ayat-ayat suci al-Quran. Harus diingat Tok Ku Paloh ketika itu dianggap sebagai wali Allah.

Di situ Tok Gajah dan orang-orangnya telah mengibarkan seruan jihad dan berhasrat untuk melanggar Kuala Tembeling dan Kuala Lipis. Dengan bantuan Mamat Kelubi, mereka berhubungan dengan ramai pemberontak khususnya yang menetap di Kuala Ampul.

Jumlah pengikut Tok Gajah dan Dato Bahaman ketika itu sekitar 60 ke 70 orang. Saudagar Awang Ngah telah membekalkan mereka dengan bedil yang diperolehi dari Singapura.

Esah yang ditinggalkan di Kuala Ampul terputus berita seketika dan hanya mendapat maklumat 20 hari kemudian bahawa Kuala Tembeling telah berjaya dialahkan. Akan tetapi kubu di Jeram Ampai turut jatuh ke tangan British.

Meskipun kalah, orang-orang Tok Gajah bangga kerana telah berhasil membunuh ramai tentera upahan Sikh.

Tidak lama kemudian, Haji Lateh dan anaknya Leh memberitahu kepada Tok Gajah agar bersembunyi memandangkan Hugh Clifford sudah pulang dari Jawa dan berazam untuk memburu Tok Gajah dan Dato Bahaman sampai dapat.

Hal ini mendatangkan stres buat Tok Gajah. Esah telah ikut melarikan diri ke Pertang, di mana mereka bersembunyi di sebalik air terjun dan di dalam hutan belukar. Pasukan British di Ampul telah mengekori mereka sehingga ke Ulu Terengganu dan melepaskan tembakan.

Ini menyebabkan rombongan Tok Gajah itu bercempera dan Esah melarikan diri mengikut sejumlah kecil orang-orang Haji Mat Wahid. Mereka tinggal di dalam hutan di Lanchar dan hanya makan buah-buahan hutan. Sesekali orang-orang Teh Ibrahim masuk ke kampung dan mencuri nasi.

Setelah empat lima hari di situ, kumpulan pemberontak terdiri daripada Ungku Selia dan Tok Dalam tiba bersama-sama Mat Kilau. Pada hari inilah Esah mengahwini Mat Kilau setelah diberitahu yang Iang Chik, isteri pertama Mat Kilau sudah terlalu uzur.

Menurut Esah, Mat Kilau dengan bangga memberitahunya pada malam perkahwinan mereka yang ramai orang Sikh telah dibunuh di Pertang.

Setelah beberapa lama, Tok Gajah, termasuk Mat Kilau mendapatkan bantuan Ungku Selia yang menyembunyikan mereka di Tanah Merah, Kelantan dan kemudian Kemuning. Pada waktu tertentu, untuk melarikan diri, mereka akan menyusuri sungai sehinggalah ke Kota Bharu.

Pada waktu itu jumlah pengikut Tok Gajah menyusut menjadi dua belas orang iaitu Tok Gajah sendiri, Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kilau, Dato Bahaman, Mat Lela anaknya, isteri Tok Gajah dikenali sebagai Tijah, Esah, dan empat orang hamba lelaki.

Mereka terus bersembunyi di Besut untuk mengelakkan diri daripada tertangkap. Beberapa lama kemudian mereka bersembunyi pula di rumah Tuan Wok di Chigar Batang, dan di rumah Tok Mekong Hasan di Chawangan.

Untuk sekian lama, rombongan Tok Gajah ini mengalih diri ke Lubok Gadul di rumah Tok Mekong Kembiau. Di situ mereka berkampung dan mendapat bantuan Awang Nong yang mengajar mereka seni mempertahankan diri.

Di Terengganu mereka berangan untuk menghimpun kekuatan melanggar Pahang tanpa menyedari raja Pahang telah duduk bersenang lenang dengan British.

Menurut Esah, mereka di situ beberapa lama sehingga Pak Chu Weng membawa berita yang Clifford telah berjaya menjejaki mereka sehingga ke Lebir dan sudah tiba di Besut.

Mereka pada mulanya tidak percaya dengan khabar tersebut sehinggalah ada maklumat bahawa orang Mr Duff telah tiba di Besut. Ini memaksa mereka bersembunyi pula di Ulu Ibu Besut selama sebulan.

Ketika ini Esah baru melahirkan anaknya dengan Mat Kilau dan dalam keadaan pantang. Di Lebir, Dato Bahman bergabung dengan Orang Asli, di mana Dato Bahman ikut mengahwini seorang gadis Orang Asli.

Setelah berjalan selama tiga hari, Esah mengalami bentan dan jatuh sakit. Dia terpaksa dipikul oleh lelaki Orang Asli yang menjadi hamba mereka. Orang Asli ini bagaimanapun melarikan diri dari rombongan Mat Kilau setelah mendengar perbualan Mat Kilau dan Awang Nong yang mereka perlu membunuh Orang Asli tersebut untuk mengelakkan rahsia mereka nanti bocor ke telinga Inggeris.

Selama beberapa hari Esah dan anaknya terpaksa dipikul oleh kaum lelaki dan satu ketika Tok Gajah marah-marah dan merampas barang kemasnya.

Mereka akhirnya tiba di Miak, dan berkhemah di Jeram Kijang. Kesemua mereka jatuh sakit kecuali Mat Kilau yang masih sihat.

Setelah itu mereka mendapat perlindungan di Jeram Panjang di bawah bantuan Sheikh Ahmat. Pada 20 Mei, Mat Kilau, Awang Nong, Esah dan anaknya tiba di Kuala Aring. Setelah merisik daripada orang kampung yang ibu Esah ada di Lebir Kechil, Esah dan anaknya telah dibawa ke tebing sungai dan ditinggalkan di situ.

Esah menangis dan meminta Mat Kilau dan Awang Nong agar membawanya ke Jubai, tempat asalnya. Rayu tangis Esah tidak diendahkan, dia bagaimanapun diberikan wang dan Mat Kilau serta Awang Nong telah ghaib.

Esah bernasib baik kerana abangnya mengenal beliau dan terserempak dengannya pada tengahari tarikh tersebut. Abangnya membawa Esah dan anak ke Jubai di mana Esah kemudian ditangkap British pada hari berikutnya.

Berdasarkan keterangan Esah, kita memahami Mat Kilau dan orang-orangnya berjaya ghaib daripada penglihatan orang awam dan tidak dikenali sekian lama setelah memanfaatkan kawasan pedalaman dan hutan Pahang yang tebal, dibantu dengan penyamaran yang berkesan.

Mereka berpindah randah. Dalam persembunyian mereka itu, Mat Kilau dan kawan-kawannya mendapat bantuan ramai pemimpin Melayu yang bersimpati. Orang-orang raja Pahang dan Kelantan bagaimanapun nampaknya mengkhianati mereka.

Satu hal yang juga penting berdasarkan kisah Esah adalah untuk menjayakan keghaiban ini, Mat Kilau malah tergamak meninggalkan isterinya yang baru dikahwini dan anaknya yang baru dilahirkan, sehingga ahli keluarganya itu akhirnya jatuh ke tangan British. – 28 Jun, 2022.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen