Rusia kurang ajar serang pusat beli-belah, kata Zelensky


Sebuah pusat membeli-belah yang penuh dengan orang awam di Kremenchuk, Ukraine dilaporkan telah diserang dengan peluru berpandu Rusia dan membunuh sekurang-kurangnya 13 orang awam setakat ini. – Gambar EPA, 28 Jun, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky mengecam serangan peluru berpandu pada Isnin ke atas sebuah pusat beli-belah di tengah bandar Kremenchuk sebagai “tindakan pengganas yang kurang ajar”, apabila jumlah kematian meningkat kepada 13 orang.

Zelensky berkata demikian selepas laporan dua lagi serangan di timur negara itu pada Isnin yang membunuh sekurang-kurangnya 12 orang awam kesemuanya, ketika pegawai di sana menuduh Moscow sengaja menyasarkan orang awam.

“Serangan Rusia hari ini di pusat membeli-belah di Kremenchuk adalah salah satu tindakan pengganas paling kurang ajar dalam sejarah Eropah,” kata Zelensky melalui Telegram.

“Ia sebuah bandar yang aman, pusat membeli-belah biasa dengan kaum wanita, kanak-kanak biasa di dalamnya.”

Terdahulu, kementerian pertahanan Ukraine berkata serangan di Kremenchuk telah sengaja ditetapkan masanya bertepatan dengan waktu paling sibuk pusat beli-belah itu.

Serangan itu telah mengundang kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan pemimpin dunia. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen