12 maut, lebih 250 cedera letupan gas klorin Jordan


Rakaman TV Al-Mamlaka milik kerajaan menunjukkan tangki yang membawa kira-kira 30 tan gas terjunam dari kren ke atas kapal sebelum melepaskan awan gas klorin. – Gambar AFP, 28 Jun, 2022.

LETUPAN gas klorin telah meragut 12 nyawa selain mencederakan lebih 250 orang pada Isnin, kata pihak berkuasa, apabila tangki yang jatuh dari kren melepaskan awan kuning beracun di pelabuhan Aqaba di Jordan.

Rakaman TV Al-Mamlaka milik kerajaan menunjukkan silinder besar itu, dikatakan membawa kira-kira 30 tan gas, terjunam dari kren ke atas kapal yang ditambat dan melepaskan awan gas klorin.

Kekuatan letupan menyebabkan sebuah trak berguling ke bawah dok, manakala pekerja pelabuhan berlari menyelamatkan diri.

“Tepat pukul 15:15 tengah hari tadi, kebocoran gas klorin berlaku di pelabuhan Aqaba selepas terjatuh dan tangki yang mengandungi bahan tersebut meletup,” kata jabatan krisis kerajaan dalam satu kenyataan.

Angka kematian meningkat kepada 12 dengan 260 cedera, meliputi rakyat Jordan dan warga asing, katanya, menambah hampir separuh daripada yang cedera sedang dirawat di hospital.

Kawasan berhampiran telah dikosongkan dan penduduk diberitahu untuk tinggal di dalam rumah ketika petugas kecemasan memasang kordon 500 meter di sekitar lokasi kejadian, kata sel krisis.

Pantai selatan Aqaba, kawasan peranginan Laut Merah, juga telah dikosongkan, kata pegawai.

Timbalan ketua Pihak Berkuasa Pelabuhan Wilayah Aqaba, Haj Hassan, memberitahu Al-Mamlaka “tali besi yang membawa tangki mengandungi bahan toksik terputus,” menyebabkan ia terjatuh dan bocor.

Saluran itu juga memetik bekas ketua syarikat yang mengendalikan pelabuhan itu, Mohammed al-Mubaidin, sebagai berkata sebuah kapal telah menunggu untuk memuatkan hampir 20 kontena gas cecair “mengandungi peratusan klorin yang sangat tinggi”.

Tambahnya gas itu berat dan “tidak mudah untuk awan gasnya bergerak… kerana ia tertumpu di satu kawasan dan dipengaruhi oleh pergerakan angin”. – AFP, 28 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen