UK sumbang dana baiki infrastruktur kereta api Ukraine


UK akan memperuntukkan kira-kira AS$12.28 juta untuk membaik pulih infrastruktur kereta api Ukraine. – Gambar AFP, 27 Jun, 2022.

UNITED Kingdom (UK) akan memperuntukkan kira-kira AS$12.28 juta untuk membaik pulih infrastruktur kereta api Ukraine, bagi memastikan bekalan bijirin dapat dieksport, menurut pejabat Perdana Menteri Boris Johnson.

“...UK menyumbang sehingga £10 juta bagi kos bahan dan peralatan kepada Ukraine Railways untuk membaiki infrastruktur rel dan membantu mengeksport keluar bijirin menggunakan kereta api.

“UK sedang berbincang dengan kerajaan Ukraine tentang cara memaksimumkan kapasiti rel mereka dan memastikan bekalan bijiran dapat dieksport keluar,” menurut Downing Street pada Ahad.

Johnson akan mengadakan mesyuarat dengan pemimpin dunia pada sidang kemuncak negara-negara Kumpulah Tujuh (G7) yang dijadual pada Isnin, lapor Sputnik.

Di tengah-tengah operasi ketenteraan khas Moscow yang sedang berlangsung di Ukraine, negara-negara Barat menuduh Rusia menyekat eksport bijirin di pelabuhan Laut Hitam.

Terdahulu pada Jun, Presiden Rusia Vladimir Putin berkata tiada halangan untuk eksport bijirin dari Ukraine.

Kapal-kapal membawa bijirin dapat meninggalkan Laut Hitam tanpa sebarang masalah jika Kyiv membersihkan pelabuhan dari periuk api yang ditanam sebelum ini bagi menyekat operasi ketenteraan Rusia. – Bernama, 27 Jun, 2022.              


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen