Najib, Tok Mat gagalkan usaha singkir Zahid, dakwa Tajuddin


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau tiada sebarang isu peribadi dengan Ahmad Zahid dan masih menghormatinya sebagai presiden. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 27 Jun, 2022.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak mengagalkan usaha untuk menyingkirkan Ahmad Zahid Hamidi sebagai presiden Umno pada 2020, dakwa Tajuddin Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu mendedahkan, Mohamad dan Najib pada awalnya merupakan sebahagian pimpinan Umno yang mengusulkan Ahmad Zahid harus berundur secara terhormat daripada terus merajui parti.

“Masa itu keputusan perjumpaan ini, kita nak buat satu memorandum meminta Zahid supaya turun dengan baik demi kepentingan Umno. Bukan nak tendang dia, tak baik.

“Ketuanya Tok Mad (Mohamad) dan Bossku (Najib)...mereka suruh kumpulkan dan buat tinjauan berapa ketua bahagian yang bersetuju (Ahmad Zahid supaya berundur),” kata Tajuddin.

Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara petang tadi susulan pemecatannya sebagai anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, minggu lalu.

Dalam sidang media itu, Tajuddin mendedahkan memorandum berkenaan berjaya mendapatkan sokongan kira-kira 130 ketua bahagian Umno yang bersetuju agar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berundur.

Umno mempunyai 192 bahagian di seluruh Malaysia.

Tajuddin menambah, pertemuan yang diadakan di kediamannya waktu itu turut dihadiri oleh Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir.

“Tiga tahun dulu (pertemuan diadakan), maknanya setahun dia pegang jawatan presiden, dah lemah. Kita tak sanggup,” kata Tajuddin lagi.

Namun usaha itu katanya gagal disebabkan Mohamad dan Najib berpaling tadah.

Mohamad, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rantau kata Tajuddin menarik diri selepas “disergah budak Ahmad Zahid”, atas alasan mahu meredekan ketegangan.

Manakala Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan pula katanya lebih fokus untuk menjadi pengerusi BN, waktu itu.

“Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mat sebagai ketua dengan Bossku belot,” katanya, merujuk Mohamad dan Najib.

“Tok Mat disergah dengan budak Zahid, tak boleh pakai. Dia guna bahasa Negeri Sembilan dia, sedap dengar je lah.

“Najib pula saya diminta tinjau ketua bahagian, kita buat keputusan Najib panggil orang dia sokong gerakan itu, maka panggil ke rumah dia, minum-minum, kemudian seorang demi seorang berucap lain pula jadinya.

“Bukan minta Zahid turun tetapi minta Najib jadi pengerusi BN, kita buat keputusan bersama supaya Zahid turun ini jadi cerita lain, bila saya tanya, apa kata dia, sepatah tak bercakap. Dia seronok orang nak dia jadi pengerusi BN.

“Mampus Zahid tak bagi… Zahid mainkan dia (Najib) dan dia pun mainkan Zahid,” kata Tajuddin lagi.

Tajuddin juga berkata beliau tiada sebarang isu peribadi dengan Ahmad Zahid dan masih menghormatinya sebagai presiden walaupun dipecat dari jawatan itu.

Malah, beliau yang dilantik sebagai duta ke Indonesia juga sedar presiden berkuasa penuh untuk melantik atau memecat keanggotaan MKT.

“Saya tiada isu peribadi dengan dia, saya hormat dia, kadang saya cium tangan dia pasal dia presiden, bukan mengampu tapi saya hormat dia sebagai presiden tapi tak bermakna saya kena ikut sahaja.

“Saya terima hakikat saya MKT yang dilantik dan presiden berkuasa mutlak untuk menamatkan perkhidmatan saya sebagai MKT, tiada isu, itu hak dia, saya terima. Tiada isu.

“Tetapi dia kata saya tak ikut keputusan parti, bercakap sana sini, buat kenyataan saya tak ikut keputusan parti,” tambah Tajuddin.

Sedangkan katanya, selama empat penggal di dalam MKT, beliau harus bersuara lantang demi menjaga kepentingan dan perjuangan Umno.

“Saya rasa bertanggungjawab, kalau perbincangan dan syor di bawa dalam MKT merugikan parti saya terpaksa bersuara, tak boleh duduk diam,” tegasnya.

Ahmad Zahid menggantikan Najib sebagai presiden selepas gabungan BN tewas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 kepada Pakatan Harapan (PH).

Beliau menang pemilihan Umno mengalahkan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin. – 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen