Putrajaya lemah urus ekonomi negara, kata Shafie


Presiden Warisan Mohd Shafe Apdal berkata kerajaan perlu merangka pelan strategik bagi menangani isu tenaga dan keselamatan makanan di negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2022.

KERAJAAN perlu merangka pelan strategik bagi menangani isu tenaga dan keselamatan makanan di negara ini, kata Presiden Warisan Mohd Shafe Apdal.

Beliau berkata peruntukan sebanyak RM77.3 bilion untuk ‘subsidi’, dengan sebahagian besarnya diperuntukkan bagi tenaga yang akan memberi manfaat kepada kumpulan berpendapatan tinggi adalah langkah tidak bijak dan membazir.

“Langkah itu tidak mampan, menunjukkan pengurusan ekonomi negara lemah.

“Jumlah subsidi bagi tahun ini lebih tinggi daripada keseluruhan perbelanjaan pembangunan negara sebanyak RM76.6 bilion.

“Dari mana kita hendak dapatkan duit?” soalnya dalam kenyataan hari ini.

Shafie berkata untuk bulan lepas sahaja Putrajaya membayar RM7.5 bilion bagi hutang 1MDB, manakala RM7.5 bilion lagi perlu dilunaskan pada akhir tahun.

“Digabungkan dengan subsidi, rakyat perlu bayar RM92 bilion – satu pembaziran.

“Sebaliknya, kita hanya membelanjakan 10% daripada itu untuk perbelanjaan pembangunan untuk kesihatan dan pendidikan yang penting untuk jangka panjang.

“Ke mana hala tuju negara? Kita ada Kabinet yang besar, majlis ekonomi, majlis pemulihan ekonomi, tetapi kerajaan tidak mampu menangani harga ayam.

“Masalah ekonomi di negara ini semakin teruk, dan membelanjakan wang untuk subsidi yang lebih daripada perbelanjaan pembangunan tidak akan memperbaiki keadaan,” tegas Shafie.

Awal hari ini, Jawatankuasa Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) mendesak kerajaan mengekalkan harga siling semasa bagi ayam dan telur, serta subsidi bagi minyak masak botol.

“Kami mahu kerajaan meningkatkan subsidi keperluan makanan rakyat dengan mengekalkan harga siling ayam dan telur ayam mesti serta menambah subsidi kepada penternak dan pengusaha mengikut keadaan semasa agar bekalan dalam negara kekal tanpa menghadapi masalah bekalan terputus,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan. – 27 Jun, 2022.     

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen