Lebih 20% kanak-kanak alami tumbesaran terbantut, kata Khairy 


Elill Easwaran

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika melancarkan kempen #anakmalaysiasihat di Putrajaya hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 27 Jun, 2022.

LEBIH 20% kanak-kanak di Malaysia mengalami tumbesaran terbantut, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, yang mana sekatan pergerakan Covid-19 antara kemungkinan punca peningkatan itu.

Menurutnya masalah bantut dalam kalangan kanak-kanak pada 2015 ialah 17%, dan peningkatan itu menjadikannya isu serius yang mesti ditangani.

“Kini ia melebihi 20% dan kami berharap angka itu akan turun kepada 12.3% menjelang 2025, dan kepada sekurang-kurangnya 8% pada 2030,” kata Khairy hari ini ketika melancarkan kempen #anakmalaysiasihat di Putrajaya.

Beliau berkata angka yang lebih tinggi itu mungkin disebabkan oleh perintah kawalan pergerakan selama dua tahun terakhir pandemik Covid-19.

“Kami tidak tahu sama ada kanak-kanak mendapat kadar nutrisi yang mereka perlukan selama dua tahun berkurung, jadi itu juga boleh menjadi faktor.”

Bagi mengenal pasti punca utama, kajian lebih mendalam diperlukan, katanya sambil menambah kementerian kesihatan telah menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan itu.

Mengenai masalah yang paling teruk, Khairy berkata kes tumbesaran terbantut tertinggi adalah di Kelantan, diikuti Putrajaya.

“Bagi Putrajaya kita perlu melihat semula apakah faktornya kerana ia dikenali sebagai antara bandar berpendapatan tertinggi di Malaysia.

“Jadi puncanya mungkin pusat asuhan tidak mengikut menu yang diberikan oleh kementerian kesihatan. Kami akan maklumkan kepada orang ramai sebaik sahaja kami mendapat jawapannya,” katanya.

Khairy juga berkata tumbesaran terbantut tidak boleh dipandang ringan kerana ia bukan sahaja menjejaskan perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, dan kesihatan sosial mereka; ia juga boleh membawa kepada kematian.

“Menurut kajian Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), hampir separuh daripada semua kematian kanak-kanak di bawah umur lima tahun di seluruh dunia adalah berkaitan isu kekurangan zat makanan.

Data yang diperolehi daripada kajian yang dilakukan oleh FrieslandCampina, antara 2019 dan 2021, menunjukkan lebih 70% kanak-kanak di empat negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia, kekurangan nutrisi atau kekurangan zat makanan terutama kalsium dan vitamin D dalam diet seimbang yang boleh membantutkan tumbesaran dan perkembangan mereka.

84% kanak-kanak di empat negara terbabit iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Vietnam juga tidak memenuhi keperluan purata vitamin D. – 27 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen