TINDAKAN Umno menggugurkan Tajuddin Abdul Rahman dari Majlis Kerja Tertinggi tidak menimbulkan perpecahan dalam parti, kata naib presidennya Mahdzir Khalid.
Jelasnya, perpecahan tidak berlaku kerana beliau tidak melihat mana-mana kem atau kumpulan wujud dalam Umno selepas tindakan itu dibuat.
“Tidak ada krisis pun, tak ada perpecahan dalam Umno. Biasanya kalau krisis dalam parti sebab ada puak-puak atau pasukan itu baru kita kata krisis dalaman tapi Umno tidak ada puak pun,” katanya.
Mahdzir bercakap kepada wartawan selepas majlis konvokesyen Kolej Ketengah di Kuala Nerus, Terengganu hari ini.
Menteri pembangunan luar bandar itu mengulas spekulasi mengenai krisis dalaman Umno yang berkait dengan pengguguran ahli Parlimen Pasir Salak itu dari jawatan tersebut.
Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata, Tajuddin digugurkan kerana mengkritik parti namun tidak menyebut kenyataan yang dibuat bekas pengerusi Prasarana Malaysia Bhd itu.
Tajuddin antara ahli MKT Umno lantikan presiden yang diumumkan bersama beberapa jawatan lantikan lain pada 14 Julai 2018.
Tajuddin gagal merebut jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Jun 2018.
Beliau pada minggu lalu menerima watikah pelantikan sebagai duta untuk berkhidmat di Indonesia.
Tindakan ke atas Tajuddin dibuat sewaktu pemimpin Umno semakin lantang menuntut agar Ismail segera membubarkan Parlimen bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan segera.
Gesaan itu menimbulkan kebimbangan di kalangan pemerhati politik yang antara lain melihat usaha itu bagi membolehkan pemimpin Umno dapat dibebaskan dari tuduhan di mahkamah. – 26 Jun, 2022.
Komen