Benarkan individu tidak berlesen memandu, pemilik perlu dihukum, kata kumpulan pengguna


Elill Easwaran

Terdapat 55,000 pemilik kenderaan membenarkan kenderaan mereka digunakan pemandu tidak berlesen dan ini "mengejutkan serta membimbangkan”, kata Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang N. V Subbarow. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Jun, 2022.

KUMPULAN pengguna menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bertindak tegas terhadap pemilik kenderaan yang membenarkan pemandu tidak berlesen memandu kenderaan mereka.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang N. V Subbarow dalam satu kenyataan berkata terdapat 55,000 pemilik kenderaan membenarkan kenderaan mereka digunakan pemandu tidak berlesen dan ini “mengejutkan serta membimbangkan.”

“Pihak berkuasa perlu segera membatalkan lesen memandu pemilik kenderaan ini dan tidak dibenarkan memperbaharui cukai jalan selama setahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata ibu bapa yang membenarkan anak tidak berlesen memandu perlu dihadapkan ke mahkamah.

“Kita perlu menguatkuasakan undang-undang dengan lebih ketat bagi memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan lain,

“Jika pihak berkuasa tidak mengambil tindakan segera terhadap individu tidak berlesen, kadar kemalangan pasti akan meningkat,” kata Subbarow.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Aedy Fadly Ramli berkata, seramai 55,000 pemilik kenderaan didapati membenarkan individu tidak berlesen memandu kenderaan mereka dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Kebanyakan kesalahan melibatkan ahli keluarga, terutama ibu bapa yang membenarkan anak mereka, termasuk di bawah umur, memandu tanpa lesen atas pelbagai alasan,” katanya. – 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen