Cacar monyet belum capai tahap kecemasan kesihatan, kata WHO


Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memanggil jawatankuasa pakar pada Khamis untuk menasihatinya sama ada perlu memberi amaran mengenai cacar monyet. – Gambar EPA, 26 Jun, 2022.

KETUA Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Sabtu yang wabak cacar monyet semakin menjadi ancaman sangat membimbangkan tetapi pada masa ini bukan kecemasan kesihatan global.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus memanggil jawatankuasa pakar pada Khamis untuk menasihatinya sama ada perlu memberi amaran mengenai wabak itu.

Lonjakan kes cacar monyet dikesan sejak awal Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sekian lama menjadi endemik. Kebanyakan kes baharu berlaku di Eropah Barat.

Lebih 3,200 kes disahkan dan satu kematian kini telah dilaporkan kepada WHO dari lebih 50 negara tahun ini.

“Jawatankuasa kecemasan berkongsi kebimbangan serius tentang skala dan kepantasan wabak,” katanya dan menegaskan banyak perkara tidak diketahui tentang penyebaran dan jurang dalam data.

“Mereka menasihatkan saya pada masa ini ia bukan Kecemasan Kesihatan Awam bagi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), yang merupakan tahap amaran tertinggi yang boleh dikeluarkan WHO, tetapi menyedari persidangan jawatankuasa itu sendiri mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran cacar monyet antarabangsa.”

Tedros berkata wabak itu jelas satu ancaman kesihatan yang berkembang dan memerlukan tindakan segera untuk menghentikan penyebaran lebih lanjut, menggunakan pengawasan, pengesanan kontak, pengasingan dan penjagaan pesakit, dan memastikan vaksin serta rawatan tersedia untuk populasi berisiko.

“Sebahagian besar kes diperhatikan dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki dan berusia muda terutamanya muncul di kawasan bandar, dalam “rangkaian sosial dan seksual berkelompok”, menurut laporan WHO mengenai pertemuan itu.

Walaupun beberapa ahli menyatakan pandangan berbeza, jawatankuasa itu memutuskan secara konsensus untuk menasihati Tedros yang pada peringkat ini, wabak itu bukan PHEIC.

“Bagaimanapun, jawatankuasa sebulat suara mengakui sifat kecemasan  perkara itu dan mengawal penularan wabak selanjutnya memerlukan usaha tindak balas yang segera.”

Mereka bersedia bertemu semula dalam beberapa hari dan minggu akan datang bergantung pada corak wabak itu berkembang.

Jawatankuasa mengesyorkan agar negara meningkatkan diagnostik dan komunikasi risiko.

Ia menyatakan banyak aspek wabak adalah luar biasa, manakala sesetengah ahli mencadangkan terdapat risiko penularan berterusan disebabkan tahap imuniti penduduk yang rendah terhadap jangkitan virus cacar. – AFP, 26 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen