Chernigiv di Ukraine dihujani bedilan peluru berpandu dari Belarus


Kompleks Sukan Politeknik di Kharkiv, Ukraine yang musnah selepas dibedil tentera Russia, semalam. Tentera Russia meningkatkan serangan ke atas Kharkiv sejak beberapa hari lalu. – Gambar EPA, 25 Jun, 2022.

KAWASAN utara Ukraine iaitu Chernigiv kini digegarkan dengan letupan bom besar-besaran dari wilayah sekutu Russia, Belarus, kata tentera Ukraine hari ini.

“Sekitar jam 5.00 pagi (waktu tempatan) wilayah Chernigiv dihujani bedilan peluru berpandu yang mengakibatkan letupan besar-besaran,” tulis komander tentera utara Ukraine dalam satu kenyataan di Facebook.

“Dua puluh roket, dilancarkan dari wilayah Belarus dan dari udara, menyasarkan kampung Desna,” katanya, sambil menambah infrastruktur musnah tanpa sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Desna, sebuah perkampungan kecil dengan populasi sebelum perang sekitar 7,500 orang, terletak 70 kilometer ke utara Kyiv dan jarak yang sama ke selatan sempadan Ukraine dengan Belarus.

Serangan itu berlaku ketika Presiden Russia Vladimir Putin bertemu rakan sejawatannya dari Belarus dan sekutu rapat Alexander Lukashenko di Saint Petersburg hari ini.

Diplomat tertinggi Moscow Sergei Lavrov dijadualkan melawat Belarus pada Khamis dan Jumaat.

Belarus memberi sokongan logistik terhadap pencerobohan Russia ke atas Ukraine, terutamanya pada minggu pertama serangan, walaupun ia secara rasmi kekal sebagai tidak menyertai perang pada peringkat ini.

Negara itu, yang diketuai Lukashenko sejak 1994 juga menjadi sasaran sekatan Barat yang ditujukan kepada Russia susulan serangannya ke atas Ukraine. – AFP, 25 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen