PIHAK berkuasa Russia menurunkan bendera Poland dari tugu peringatan rakyat Poland yang dibunuh Kesatuan Soviet, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak antara Moscow dan Warsaw berhubung konflik Ukraine.
Ahli sejarah dan pelawat ke tugu peringatan Katyn di wilayah Smolensk, barat Russia mencatat kehilangan bendera itu di media sosial semalam.
Datuk Bandar Smolensk mengesahkan penyingkiran itu petang semalam, sambil menyiarkan gambar yang menunjukkan hanya bendera Russia berkibar di pintu masuk tugu peringatan itu.
“Tidak boleh ada bendera Poland pada monumen Russia. Lebih-lebih lagi selepas komen terang-terangan anti Russia oleh pemimpin politik Poland,” kata Andrei Borisov di platform media sosial VKontakte.
“Kementerian kebudayaan Persekutuan Russia membuat keputusan yang tepat dengan mengeluarkan bendera Poland. Katyn ialah tugu peringatan Russia.”
Keputusan untuk menurunkan bendera itu dibuat ketika ketegangan antara Russia dan Poland memuncak sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraannya di negara jiran Ukraine pada Februari.
Poland, ahli Nato dan Kesatuan Eropah, lantang menyokong Ukraine secara diplomatik dan membekalkan negara itu dengan senjata.
Negara itu juga menjadi tuan rumah kepada sebahagian besar pelarian Ukraine dalam blok itu – lebih daripada 1.1 juta mengikut angka terkini PBB.
Tugu peringatan Katyn didirikan sebagai mengenang 25,000 rakyat Poland, kebanyakannya pegawai tentera yang dianggap anti-komunis, dibunuh beramai-ramai polis Kesatuan Soviet di sebuah hutan berhampiran Smolensk pada 1940 atas arahan Joseph Stalin.
Kesatuan Soviet sudah lama menafikan bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu, sambil menuduh Nazi melakukan jenayah itu, sebelum mengakuinya pada 1990. – AFP, 25 Jun, 2022.
Komen