CHINA melaporkan sifar jangkitan baharu Covid-19 di Shanghai buat kali pertama sejak Mac, ketika wabak itu reda selepas berbulan-bulan sekatan pergerakan bagi membendung virus tersebut.
China adalah negara terakhir yang masih komited kepada strategi sifar-Covid bagi menghapuskan kes baharu dengan melaksanakan sekatan bersasar, ujian besar-besaran dan kuarantin dalam tempoh panjang.
Hab ekonomi Shanghai terpaksa ditutup selama berbulan-bulan semasa lonjakan jangkitan Covid-19 pada musim bunga ini didorong varian Omicron yang menular cepat, manakala ibu kota Beijing menutup sekolah dan pejabat selama berminggu-minggu akibat wabak berasingan.
Jangkitan semakin berkurangan dalam beberapa hari kebelakangan ini, dengan Shanghai melaporkan sifar kes penularan tempatan buat kali pertama sejak pengesanan wabak itu pada awal Mac.
“Tiada kes baharu tempatan Covid-19 disahkan dan tiada jangkitan bergejala baharu di Shanghai pada 24 Jun 2022,” demikian menurut pegawai bandar itu dalam satu kenyataan.
Sekatan pergerakan ke atas 25 juta penduduk Shanghai hampir ditarik balik pada awal Jun, tetapi metropolis itu bergelut untuk kembali normal selepas kawasan kejiranan mengenakan semula sekatan sebagai tindak balas kepada jangkitan baharu.
Jutaan penduduk di bandar itu terpaksa berkurung buat sementara waktu dalam tempoh dua minggu lalu selepas kerajaan mengarahkan kempen ujian besar-besaran baharu.
Di Beijing, sekatan yang pertama kali dikenakan pada Mei dilonggarkan apabila kes menurun, tetapi diperketatkan semula bulan ini selepas kluster jangkitan berkaitan muncul.
Selepas beberapa hari ujian besar-besaran dan penutupan setempat, “rantaian jangkitan di syurga membeli belah itu” dapat dibendung dengan berkesan, kata pihak berkuasa Beijing minggu lalu.
Biro pendidikan bandar itu berkata semua pelajar sekolah rendah dan menengah boleh kembali ke sekolah untuk menghadiri sesi pembelajaran secara bersemuka pada Isnin.
Pembukaan sekolah terpaksa ditangguhkan selepas terdapat satu kluster Covid-19 dikesan di ibu negara China itu. – AFP, 25 Jun, 2022.
Komen