SERAMAI 3.5 juta kanak-kanak di Bangladesh memerlukan air minuman bersih susulan banjir besar yang melanda negara itu bulan ini, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef).
Agensi itu berkata sebanyak AS$2.5 juta diperlukan segera berikutan risiko penyakit bawaan air yang semakin meningkat.
Hujan lebat sejak minggu lalu menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air sepenuhnya, dan terputus daripada bekalan air minuman dan makanan.
“Seramai 3.5 juta kanak-kanak memerlukan air minuman bersih dengan segera. Ini adalah peningkatan seramai dua juta lebih dalam tempoh beberapa hari.
“Banyak kawasan ditenggelami air sepenuhnya. Kanak-kanak ini memerlukan bantuan dengan segera,” kata wakil Unicef di Bangladesh, Sheldon Yett katanya menerusi video di Geneva semalam, menambah kes cirit-birit juga terus meningkat.
Katanya, banjir besar menyebabkan lebih 40,000 mata air dan kira-kira 50,000 tandas rosak, sekali gus memberi amaran penyakit bawaan air boleh merebak dengan cepat.
“Hampir setengah juta orang sudah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara tetapi tiada kelengkapan yang cukup untuk menjaga keselamatan wanita dan kanak-kanak.”
Yett berkata 90% kemudahan kesihatan dan lebih 5,000 sekolah di Sylhet ditenggelami air. – AFP, 25 Jun, 2022.
Komen