ANGKA kematian berikutan percubaan besar-besaran sekumpulan pendatang Afrika untuk menyeberang dari Maghribi ke Melilla Sepanyol meningkat kepada 18 orang semalam, menurut kemas kini baru Maghribi.
Kira-kira 2,000 pendatang menghampiri Melilla dan lebih 500 berjaya memasuki kawasan kawalan sempadan selepas memotong pagar dengan gunting, kata delegasi tempatan kerajaan Sepanyol dalam satu kenyataan.
Pegawai Maghribi berkata lewat Jumaat lalu seramai 13 pendatang meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami ketika cuba memasuki Sepanyol selain lima yang lain disahkan meninggal dunia awal hari berkenaan.
“Ada yang jatuh dari atas pengadang yang memisahkan kedua-dua kawasan,” kata seorang pegawai Maghribi sambil menambah 140 anggota keselamatan dan 76 pendatang cedeera semasa cuba menyeberang kawasan berkenaan.
Ia adalah pencerobohan besar-besaran yang pertama sejak Sepanyol dan Maghribi memperbaiki hubungan diplomatik bulan lalu.
Delegasi tempatan kerajaan Sepanyol berkata hanya 49 pegawai polis Sepanyol mengalami kecederaan ringan.
Morocco mengerahkan sejumlah besar pasukan untuk cuba menangkis serangan di sempadan yang bekerjasama secara aktif dengan pasukan keselamatan Sepanyol, katanya sebelum ini dalam satu kenyataan.
Imaj di media Sepanyol menunjukkan pendatang yang keletihan berbaring di atas kaki lima di Melilla dengan ada yang dalam keadaan berdarah dan pakaian koyak.
Bercakap di Brussels, Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez mengecam “serangan ganas” yang menyalahkan “mafia yang memperdagangkan manusia”. – AFP, 25 Jun, 2022.
Komen