Ujian tekanan tunjuk bank di AS mampu berdepan kemelesetan ekonomi


Ujian tekanan tahunan Rizab Persekutuan menunjukkan bank-bank di Amerika Syarikat mampu bertahan ketika berdepan kemelesetan ekonomi yang teruk. – Gambar EPA, 25 Jun, 2022.

BANK-BANK di Amerika Syarikat mampu bertahan ketika berdepan kemelesetan ekonomi yang teruk, menurut ujian tekanan tahunan Rizab Persekutuan.

“Bank terus mempunyai tahap modal yang kukuh, membolehkan institusi itu meneruskan pemberian pinjaman kepada isi rumah dan perniagaan ketika kemelesetan ekonomi,” memetik bank pusat itu pada Khamis.

Sebanyak 34 bank mengambil bahagian dalam ujian tekanan tahunan pada kali ini, lapor Agensi Anadolu.

“Semua bank yang diuji kekal melebihi keperluan modal minimum mereka, meskipun unjuran kerugian dianggarkan berjumlah AS$612 bilion.

“Agregat nisbah modal ekuiti biasa, diunjurkan menurun sebanyak 2.7 mata peratusan kepada minimum 9.7 peratus—masih melebihi dua kali ganda daripada keperluan minimum,” menurut bank pusat itu.

Senario ujian tekanan tahun ini lebih sukar berbanding 2021, kerana reka bentuk kemelesetan global kali ini turut memberi kesan terutamanya kepada pasaran hartanah komersial dan hutang korporat. – Bernama, 25 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen