Bakteria terbesar dunia ditemui di Guadeloupe


Gambar menerusi mikroskop menunjukkan bakteria gergasi, Thiomargarita magnifica bersaiz sehingga 2cm ditemui di hutan bakau Guadeloupe. – Gambar AFP, 24 Jun, 2022.

SAINTIS menemui varian bakteria terbesar di dunia, “Thiomargarita magnifica” bersaiz sehingga 2cm iaitu 5,000 kali lebih besar berbanding bakteria lain.

Menurut kajian diterbitkan dalam jurnal Sains semalam, bakteria yang ditemui di hutan bakau Guadeloupe itu boleh dilihat dengan mata kasar dan mempunyai struktur yang lebih kompleks.

Pakar biologi di Universiti Antilles Prof Olivier Gros yang juga pengarang bersama kajian itu berkata penemuan berkenaan ternyata menggegarkan banyak pengetahuan dalam mikrobiologi.

Beliau berkata bakteria itu dikaji di dalam tabung uji yang kelihatan seperti bulu mata berwarna putih di makmalnya di bandar pulau Caribbean Pointe-a-Pitre.

“Pada mulanya saya fikir ia bukan bakteria kerana sesuatu yang bersaiz 2cm tidak boleh menjadi bakteria,” katanya.

Penyelidik itu pertama kali melihat filamen aneh dalam tompok sedimen bakau yang kaya dengan sulfur pada 2009.

Penemuan melalui teknik termasuk mikroskop elektronik mendedahkan ia organisma bakteria, tetapi tidak ada jaminan ia satu sel.

Ahli biologi molekul Silvina Gonzalez-Rizzo pula mendapati bakteria itu tergolong dalam keluarga Thiomargarita, iaitu jenis bakteria yang diketahui menggunakan sulfida untuk berkembang. – AFP, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen