Prabakaran serah kepada PKR putuskan kerusi Batu


Ravin Palanisamy

Ahli Parlimen Batu P Prabakaran serah kepada parti untuk membuat keputusan mengenai pencalon kerusi Batu pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Jun, 2022.

P PRABAKARAN menyerahkan kepada kepimpinan parti untuk menentukan calon sesuai bagi kawasan Batu bagi pilihan raya umum akan datang, ketika ura-ura bekas wakil rakyatnya Tian Chua bercadang untuk membuat kemunculan semula. 

Prabakaran menang kerusi bandar sebagai calon bebas yang disokong PKR pada pilihan raya umum lalu dan kemudiannya menyertai parti itu, berkata beliau setia pada parti dan akur apa sahaja keputusan yang diambil oleh pucuk pimpinan.

“Parti mempunyai cukup orang yang berkebolehan untuk menganalisis, menyelidik dan membuat keputusan.

“Jadi, saya akan biarkan parti membuat keputusan dan saya okay dengan apa sahaja asalkan parti berbincang dengan saya.

“Saya lebih kepada parti dan saya akan mengikut keputusan parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tian Chua tidak layak bertanding di kerusi itu pada PRU14 kerana sabitan mahkamah, dan dengan itu tidak dapat mengekalkan kerusi itu.

Akibatnya, calon bebas Prabakaran “diterima” oleh PKR sebagai calonnya, menyebabkan pelajar undang-undang berusia 22 tahun itu menang dengan cemerlang.

Bagaimanapun, hubungan antara Prabakaran dan Tian Chua tidak selamanya lancar, dengan Prabakaran mendakwa beliau akan kembali sebagai ahli Parlimen Batu.

Bulan lalu, Prabakaran menewaskan penyandangnya Tian Chua dengan 211 undi dalam pemilihan parti untuk menjadi ketua baharu Bahagian Batu.

Walaupun kalah, Tian Chua yakin untuk bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum akan datang.

“Tidak benar kekalahan saya bermakna saya tidak akan diletakkan di kerusi Parlimen Batu oleh PKR. Saya agak pasti saya akan kembali bertanding di sana pada PRU15,” kata naib presiden PKR itu dipetik FMT.

Prabakaran tidak menjawab kenyataan Tian Chua tetapi hanya berkata parti itu lebih tahu dan faham.

Beliau mendakwa penduduk di Batu sangat cenderung kepadanya kerana mereka melihat beliau sebagai ahli Parlimen yang sentiasa turun padang membantu, tanpa mengira isu.

Beliau berkata itu adalah salah satu sebab mengapa beliau memenangi pemilihan bahagian parti.

“Parti harus faham bahawa kita sudah banyak bekerja di Batu.

“Orang di Batu mencari saya walaupun untuk perkara kecil. Saya bersetuju bahawa saya seorang yang sentiasa berada di lapangan.

“Itu menunjukkan akar umbi sudah memberi kepercayaan kepada saya dan juga sebab mengapa saya menang pemilihan parti,” katanya.

Prabakaran juga berkata beliau masih belum membuat keputusan sama ada beliau akan bertanding dalam pilihan raya akan datang.

“Sebenarnya saya juga belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak. Bukanlah saya sangat terdesak mahu bertanding.

“Tetapi jika saya lakukannya, ia adalah untuk rakyat,” katanya. – 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen