Kajian dapati vaksin Covid berjaya selamatkan 20 juta nyawa


Kajian mendapati 19.8 juta kematian akibat Covid-19 berjaya dielakkan berbanding kemungkinan 31.4 juta kematian yang akan berlaku jika tiada vaksin. – Gambar EPA, 24 Jun, 2022.

VAKSIN Covid berjaya mencegah hampir 20 juta kematian pada tahun pertama selepas ia diperkenalkan, menurut kajian model besar pertama mengenai topik yang dikeluarkan pada Jumaat.

Kajian itu, yang diterbitkan dalam The Lancet Infectious Diseases, berdasarkan data dari 185 negara dan wilayah yang dikumpul dari 8 Disember 2020 hingga 8 Disember 2021.

Ia adalah percubaan pertama untuk menganggarkan jumlah kematian yang dicegah secara langsung dan tidak langsung akibat vaksinasi Covid-19.

Ia mendapati 19.8 juta kematian berjaya dielakkan berbanding kemungkinan 31.4 juta kematian yang akan berlaku jika tiada vaksin.

Ia adalah pengurangan sebanyak 63%, menurut kajian itu.

Kajian itu menggunakan angka rasmi—atau anggaran jika tiada data rasmi—bagi kematian akibat Covid, serta jumlah lebihan kematian dari setiap negara.

Kematian berlebihan ialah perbezaan antara jumlah orang yang meninggal dunia dari semua sebab dan jumlah kematian yang diramal berdasarkan data lama.

Analisis ini dibandingkan dengan senario alternatif hipotesis di mana jika tiada vaksin diberikan.

Model tersebut menyumbang kepada variasi dalam kadar vaksinasi merentas negara, serta perbezaan dalam keberkesanan vaksin berdasarkan jenis vaksin yang diketahui digunakan terutamanya di setiap negara.

China tidak termasuk dalam kajian itu kerana populasinya yang besar dan langkah pembendungan ketat, yang akan menjejaskan keputusan, katanya.

Kajian itu mendapati negara berpendapatan tinggi dan sederhana menyumbang jumlah kematian terbesar yang dapat dielakkan, 12.2 juta daripada 19.8 juta, mencerminkan ketidaksamaan dalam akses kepada vaksin di seluruh dunia.

Ia membuat kesimpulan yang hampir 600,000 kematian tambahan boleh dihalang jika matlamat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memvaksin 40% penduduk setiap negara menjelang akhir 2021 tercapai.

“Jutaan nyawa mungkin diselamatkan dengan menyediakan vaksin kepada orang di seluruh dunia,” kata pengarang utama kajian Oliver Watson dari Imperial College London.

“Kita boleh melakukan lebih banyak lagi,” katanya.

Covid secara rasmi membunuh lebih daripada 6.3 juta orang di seluruh dunia, menurut WHO.

Tetapi organisasi itu berkata bulan lalu jumlah sebenar mungkin setinggi 15 juta, apabila semua punca langsung dan tidak langsung diambil kira.

Angka itu sangat sensitif susulan bagaimana cara krisis dikendalikan oleh pihak berkuasa di seluruh dunia.

Virus itu semakin meningkat di beberapa tempat, termasuk di Eropah, yang menyaksikan kemunculan semula yang sebahagiannya dikatakan berpunca daripada subvarian Omicron. – AFP, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen