Produk vape Juul ditarik balik dari pasaran


FDA arah semua produk vape keluaran Juul Labs ditarik semula dari pasaran selepas mendapati syarikat itu gagal mematuhi ciri keselamatan tertentu. – Gambar AFP, 24 Jun, 2022.

PENTADBIRAN Makanan dan Ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) mengarahkan semua produk vape keluaran Juul Labs ditarik semula dari pasaran selepas mendapati syarikat gergasi pengeluar produk itu gagal mematuhi ciri keselamatan tertentu.

Produk terjejas termasuk peranti dan pod Juul, yang kini terdapat dalam perisa tembakau Virginia dan perisa mentol, pada kepekatan nikotin 3% hingga 5%.

Pesuruhjayanya, Robert Califf berkata tindakan itu menunjukkan komitmen FDA untuk memastikan semua produk sistem penyampaian e-rokok dan nikotin elektronik yang sedang dipasarkan kepada pengguna memenuhi piawaian kesihatan awam ditetapkan.

“Selepas melengkapkan semakan dua tahun permohonan pemasaran syarikat, FDA mendapati data yang dibentangkan menunjukkan kekurangan bukti yang mencukupi mengenai profil toksikologi produk.

“Secara khususnya, beberapa penemuan kajian syarikat menimbulkan kebimbangan kerana data yang tidak mencukupi dan bercanggah, termasuk mengenai campuran genik dan bahan kimia yang berpotensi berbahaya daripada pod e-cecair hak milik syarikat,” katanya.

Difahamkan, Juul akan membuat rayuan terhadap keputusan FDA itu yang sekali gus membuka jalan bagi pesaing untuk menembusi pasaran yang sebelum ini dikuasai syarikat terbabit.

Ia juga tamparan kepada syarikat gergasi tembakau Altria, iaitu pengeluar rokok Marlboro, yang memperoleh 35 pegangan dalam Juul pada 2018 untuk mempelbagaikan strategi perniagaannya dalam menghadapi penurunan kadar merokok.

Ketua Pegawai Pengawalselia Juul Joe Murillo dalam kenyataannya berkata pihaknya secara hormat tidak bersetuju dengan penemuan FDA berikutan produk mereka diyakini memenuhi piawaian berkanun sebagai sesuai untuk perlindungan kesihatan awam. – AFP, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen