Mayat McAfee masih di rumah mayat setahun selepas mati


John McAfee tampil di hadapan hakim menerusi persidangan video ketika perbicaraan ekstradisinya ke AS, di Madrid pada 15 Jun, 2021. – Gambar fail EPA, 24 Jun, 2022.

MAYAT pengasas perisian, John McAfee masih berada di rumah mayat di Sepanyol, setahun selepas kematiannya susulan kes guaman difailkan keluarganya yang tidak percaya beliau meninggal dunia kerana bunuh diri, masih belum selesai.

Pengasas perisian anti virus McAfee berusia 75 tahun itu ditemui mati di sel penjaranya di Barcelona pada 23 Jun, 2021 beberapa jam selepas mahkamah Sepanyol mengarahkan ekstradisinya ke Amerika Syarikat berhubung tuduhan mengelak daripada membayar cukai.

Bedah siasatn mendapati beliau meninggal dunia kerana membunuh diri. Tetapi balunya Janice mendesak pemeriksaan lanjut dilakukan, mendakwa McAfee tidak membunuh diri dan bedah siasat itu tidak lengkap, kata peguam Javier Villalba.

Mahkamah tempatan menolak permohonan itu tetapi keluarganya memfailkan rayuan di mana hakim memutuskan mayat McAfee tidak boleh diserahkan kepada keluarga hingga kes rayuan itu selesai.

Menurut pertuduhan difailkan di mahkamah di AS, McAfee didakwa sengaja gagal membayar cukai di antara 2014 dan 2018, walaupun memperoleh jutaan dolar daripada kerja konsultasi, matawang kripto dan menjual hak berkenaan kisah hidupnya.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum penjara hingga 30 tahun.

McAfee pada 1987 mengasaskan syarikat perisian keselamatan komputer dan menguruskannya selama tujuh tahun sebelum meletak jawatan.

Hidupnya selepas itu lebih kepada kontroversi membabitkan dadah, senjata api dan pembunuhan.

McAfee berpindah ke Belize di Amerika Tengah dan menggemparkan apabila jirannya secara misteri mati dibunuh pada 2012. Kes itu masih tidak berjaya diselesaikan.

McAfee mendakwa tidak berada bersama mangsa pada masa kejadian, tetapi polis mahu menemubualnya sebagai individu mungkin ada kaitan dengan kes berkenaan.

Selepas polis menemui beliau tinggal bersama gadis 17 tahun, dan di rumahnya penuh dengan senjata api, McAfee melarikan diri dari Belize. – AFP, 24 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen