PAKAR PBB mengesahkan pemusnahan sepenuhnya atau sebahagian 152 tapak warisan budaya dan bersejarah di Ukraine sejak Rusia menyerang negara itu, kata agensi kebudayaannya pada Khamis.
Ia termasuk muzium dan monumen, gereja dan bangunan keagamaan lain, dan perpustakaan dan bangunan luar biasa lain yang mana pihak Unesco berkata ia merupakan perkembangan terkini dalam usaha untuk membantu pihak berkuasa Ukraine mendokumentasikan kerosakan.
“Serangan berulang ke atas tapak budaya Ukraine ini mesti dihentikan. Warisan budaya, dalam semua bentuknya, tidak boleh disasarkan dalam apa jua keadaan,” kata Ketua Pengarah Unesco Audrey Azoulay dalam satu kenyataan.
Agensinya telah membantu pihak berkuasa Ukraine untuk menandakan mercu tanda dengan “perisai biru” yang tersendiri, bermakna ia dilindungi di bawah konvensyen Hague 1954 mengenai budaya dalam konflik bersenjata, di mana ia ditandatangani oleh Rusia dan Ukraine.
Namun berpuluh-puluh tapak telah rosak sejak permulaan pencerobohan Rusia pada 24 Februari, dengan tiga perempat di kawasan timur Kharkiv dan Donetsk serta berhampiran ibu negara Kyiv, kata Unesco.
Buat masa ini, tujuh Tapak Warisan Dunia di Ukraine tidak terjejas, seperti Katedral Saint Sophia dan bangunan monastik Kyiv-Pechersk Lavra di ibu negara.
Ukraine telah menuntut Rusia digugurkan daripada Unesco, dan agensi itu telah menangguhkan mesyuarat untuk membincangkan status Tapak Warisan Dunia yang dihoskan Rusia di bandar Kazan bulan ini.
Unesco memberi amaran bahawa tentera atau pegawai Rusia yang didapati bersalah memusnahkan tapak warisan Ukraine dengan sengaja boleh didakwa di bawah undang-undang antarabangsa. – AFP, 23 Jun, 2022.
Komen