Veteran ATM diseru sertai ekonomi gig tingkatkan pendapatan


Veteran ATM digalak melibatkan diri dalam ekonomi gig untuk menjana pendapatan sampingan bagi meningkatkan sosioekonomi keluarga. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2022.

VETERAN Angkatan Tentera Malaysia (ATM) digalak melibatkan diri dalam ekonomi gig untuk menjana pendapatan sampingan bagi meningkatkan sosioekonomi keluarga.

Panglima Tentera Laut Laksamana Mohd Reza Mohd Sany berkata peluang menjana pendapatan melalui ekonomi gig perlu dimanfaatkan oleh golongan veteran kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan yang agak lumayan.

“Oleh itu Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) dalam Simposium Kerjaya dan Aspirasi Veteran ATM telah mengadakan kerjasama dengan dua syarikat sebagai rakan strategik, Carpedia dan Code 7 Tech Sdn Bhd sebagai platform untuk lebih ramai veteran menceburi bidang ekonomi gig ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan simposium itu hari ini.

Program sehari itu disertai 60 syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan selain peluang dan ilmu keusahawanan dan motivasi kepada veteran ATM.

Reza turut menyeru syarikat korporat dan badan bukan kerajaan bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan dan JHEV untuk membantu meningkatkan sosioekonomi veteran ATM yang banyak berkorban untuk menjaga keselamatan negara.

“Veteran ATM mempunyai pengalaman dan kemahiran tinggi yang mereka peroleh semasa berkhidmat dan saya yakin mereka mampu melakukan sebarang pekerjaan jika diberikan peluang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah JHEV Mej Jen Dzulkarnain Ahmad berharap program simposium itu dapat dianjurkan di seluruh negara. – Bernama, 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen