Bantuan tunai terbaru ‘mengecewakan’, kata Guan Eng


Golongan berpendapatan sederhana dan perniagaan kecil dan sederhana tercicir daripada bantuan kewangan tambahan kerajaan, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Jun, 2022.

GOLONGAN berpendapatan sederhana dan perniagaan kecil dan sederhana tercicir daripada bantuan kewangan tambahan kerajaan, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.

Dalam satu kenyataan, ahli Parlimen Bagan itu berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak sepatutnya membenarkan Tenaga Nasional Bhd (TNB) menaikkan tariff elektrik mulai bulan depan.

Lim berkata tidak ada sebab untuk kenaikan tariff itu kerana TNB memperoleh keuntungan RM3.66 bilion pada Disember berbanding RM3.59 bilion pada 2020.

Katanya, ini menunjukkan TNB dalam kedudukan yang baik untuk menyerap kenaikan harga gas dan arang batu.

Beliau berkata pengumuman semalam juga tidak menyebut tentang dana kestabilan harga atau penimbal stok komoditi asas bagi menampung kenaikan harga barangan.

“Kurangnya pelan yang sempurna tidak akan menambah keyakinan pelabur. Ini jelas kelihatan menerusi kejatuhan harga sahan dan penurunan nilai ringgit terhadap rakan dagangan utama kita, Amerika Syarikat dan Singapura, ke paras yang tidak pernah berlaku dalam sejarah, menambah tekanan kepada inflasi import,” katanya yang juga bekas menteri kewangan.

Semalam, Ismail mengumumkan bantuan tunai tambahan RM100 untuk satu isi rumah dan RM50 bagi individu bujang dalam kumpulan B40. Beliau berkata kerajaan akan mengekalkan subsidi untuk minyak masak paket 1kg tetapi tidak untuk minyak masak botol berkuatkuasa 30 Jun.

Lim berkata Putrajaya gagal menangani masalah kekurangan pekerja yang sangat teruk, berpunca daripada birokrasi.

“Kekurangan tenaga kerja memberi kesan kepada semua sektor, daripada pertanian hinggalah pembuatan kepada pelancongan dan industri perkhidmatan.

“Bukan saja perniagaan terpaksa ditutup, tetapi ramai yang enggan menerima arahan baharu atau beroperasi di bawah kapasiti, menyebabkan pertumbuhan ekonomi terjejas,” katanya.

Lim berkata sebagai perbandingan, Singapura yang mempunyai KDNK per kapita hampir lima kali berbanding Malaysia, mengumumkan pakej bantuan RM4.7 bilion, iaitu tujuh kali lebih banyak daripada pakej bantuan Malaysia. – 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen