WILAYAH timur Lugansk dan bandar utama Severodonetsk, Ukraine menjadi sasaran pengeboman bertubi-tubi tentera Russia semalam, kata Kyiv sambil menegaskan pejuangnya akan bertahan selagi perlu.
Tentera Moscow menyerang timur Ukraine selama berminggu-minggu dan kini mulai mara lebih jauh, walaupun mendapat tentangan hebat tentera Ukraine yang kalah.
Dengan tentera Presiden Russia Vladimir Putin mengetatkan cengkaman di bandar Severodonetsk yang penting secara strategik di Donbas, bandar berkembar Lysychansk kini menghadapi serangan lebih berat.
Gabenor wilayah Lugansk Sergiy Gaiday berkata tentera Russia memusnahkan semuanya di Lysychansk, yang merangkumi kedua-dua bandar.
“Ia umpama padang jarak di luar sana selepas Severodonetsk, di seberang Sungai Donets dibom selama empat bulan.
“Pejuang kami akan kekal di kedudukan mereka dan terus bertahan selagi boleh,” katanya melalui hantaran di Telegram, ketika puak pemisah pro-Russia mendakwa mereka hampir mengepung Lysychansk dan Severodonetsk.
Seorang pegawai dalam tentera pemisah Lugansk, Andrei Marochko berkata sejak beberapa hari lalu, usaha yang sangat besar sudah dicapai.
Menguasai kedua-dua bandar itu akan memberikan kawalan Moscow ke atas seluruh Lugansk, dan membenarkan Russia untuk menembusi lebih jauh ke Donbas.
Selepas diusir dari Kyiv dan bahagian lain Ukraine berikutan pencerobohan Februari lalu, Moscow sedang berusaha untuk merebut kawasan timur yang luas di negara itu, dengan pengeboman berterusan setiap hari di bahagian lain Ukraine. – AFP, 23 Jun, 2022.
Komen