SIDANG kemuncak pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) di Jerman akan mengumumkan langkah baharu bertujuan menekan Russia kerana menceroboh Ukraine, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS), semalam.
“Kami akan melancarkan satu set cadangan konkrit untuk meningkatkan tekanan ke atas Russia,” katanya.
Presiden AS Joe Biden akan menyertai pemimpin Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun pada sidang kemuncak di Bavaria Sabtu ini.
Kelab negara demokrasi kaya sedang berada di tengah-tengah kempen ekonomi dan diplomatik yang sengit untuk menghukum Russia berikutan tindakannya menyerang Ukraine.
Serangan bermula Februari lalu itu terus terus dilancarkan ke bahagian lain selepas pertempuran di seluruh wilayah timur negara pro-Barat itu termasuk berapa kawasan di selatan kini dikuasai Russia.
Selepas menghadiri sidang kemuncak G7 dari Ahad hingga Selasa, Biden akan meneruskan perjalanannya ke Madrid untuk sidang kemuncak pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang akan berlangsung minggu depan.
Ukraine dan Russia akan hadir dalam kedua-dua perhimpunan diplomatik itu, ketika sekutu merangka tindakan bagaimana untuk mengharungi kesan sampingan daripada sekatan terhadap Russia ke atas ekonomi mereka sendiri terutama kenaikan harga bahan api.
Seorang pegawai AS yang enggan dikenali berkata perbincangan mungkin menjurus ke arah pasaran tenaga dan strategi menangani cabaran pasaran tenaga akan dirangka.
“Bagaimanakah kita boleh memaksimumkan kesengsaraan pada rejim Putin (Presiden Russia Vladimir Putin)? Bagaimanakah kita meminimumkan kejatuhan (spill-backs) ke seluruh dunia? Inilah cabaran kita,” katanya.
Pegawai itu turut mengesahkan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky akan menyampaikan ucapan pada kedua-dua sidang kemuncak itu melalui pautan video dari negaranya yang dilanda perang. – AFP, 23 Jun, 2022.
Komen