Petugas perubatan rawat Maradona bakal didakwa di mahkamah


Diego Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun selepas menjalani pembedahan otak kerana darah beku pada November 2020. – Gambar EPA, 23 Jun, 2022.

LAPAN kakitangan perubatan akan dibicarakan atas dakwaan jenayah kelalaian menyebabkan legenda bola sepak Argentina Diego Maradona meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas pembedahan.

Seorang hakim pada Rabu memerintahkan perbicaraan pembunuhan terhadap mereka, termasuk doktor keluarga dan jururawat Maradona, berdasarkan bukti mereka gagal mengambil tindakan yang boleh menghalang kematian pada November 2020.

Tiada tarikh perbicaraan ditetapkan.

Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun ketika sedang pulih daripada pembedahan otak kerana darah beku, dan selepas berdekad bertarung dengan ketagihan kokain dan alkohol.

Beliau ditemui meninggal dunia di atas katil dua minggu selepas menjalani pembedahan, di sebuah rumah sewa di kawasan kejiranan eksklusif Buenos Aires di mana beliau dibawa selepas keluar dari hospital.

Beliau didapati meninggal dunia akibat serangan jantung.

Panel 20 pakar perubatan yang dipanggil oleh pendakwa raya Argentina membuat kesimpulan tahun lalu yang rawatan Maradona penuh dengan “kekurangan dan perkara di luar kebiasaan”. 

Mereka berkata pemain bola sepak itu “akan mempunyai peluang lebih baik untuk terus hidup” dengan rawatan sewajarnya di kemudahan perubatan yang sesuai.

Pakar mendapati penjaganya membiarkan pemain legenda itu dalam keadaan kesakitan berpanjangan sehingga membawa kepada kematiannya.

Lapan mereka akan dibicarakan atas definisi undang-undang pembunuhan bercirikan kecuaian yang dilakukan kerana mengetahui ia boleh menyebabkan kematian seseorang.

Mereka yang didakwa ialah pakar bedah saraf dan doktor keluarga Leopoldo Luque, pakar psikiatri Agustina Cosachov, pakar psikologi Carlos Diaz, penyelaras perubatan Nancy Forlini, penyelaras kejururawatan Mariano Perroni, jururawat Ricardo Almiron dan Dahiana Madrid, dan pakar klinik Pedro Paglo Di Spagna.

Mereka berisiko hukuman penjara antara lapan hingga 25 tahun.

Kesemuanya menafikan bertanggungjawab dan tiada seorang pun dalam tahanan bagi pra-perbicaraan.

Siasatan dibuka berikutan aduan yang difailkan oleh dua daripada lima anak Maradona terhadap Luque, yang mendakwa mereka bertanggungjawab terhadap kemerosotan kesihatan bapanya selepas pembedahan.

Maradona dianggap sebagai salah seorang pemain bola sepak terhebat dalam sejarah.

Bekas bintang Boca Juniors, Barcelona dan Napoli itu mengalami gangguan hati, buah pinggang dan kardiovaskular ketika meninggal dunia.

Beliau menjadi idola kepada jutaan rakyat Argentina selepas emberi inspirasi kepada negara Amerika Selatan itu bagi menjulang Piala Dunia kedua mereka pada 1986. – AFP, 23 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen