Islamisasi Abim, perihal tudung dan kematian Adibah Noor


Mohd Syazreen Abdullah

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (Abim) harus berhati-hati dan cermat dalam soal mendidik umat beragama.

Semarak dakwah dan islamisasi yang dilakukan Abim selama ini yang menyangkut ketetapan soal hukum agama, apatah lagi  mempunyai keluasan dan kepelbagaian pandangan ulama, harus diteliti dan diperdebatkan dengan jujur.

Khususnya mengenai makna aurat dan pemakaian tudung kalangan wanita Melayu Islam; bukan tampilkan tudung sebagai pakaian agama yang sopan, sebaliknya tampilkan pandangan yang rencam tentang pemakaian tudung.

Kerja-kerja dakwah islamisasi oleh Abim tentang soal tudung sudah lama terjadi.

Artikel yang baru-baru ini dikeluarkan di laman web Abim bertajuk “Wanita Melayu, Hijab & Sumbangan Helwa Abim Daripada Perspektif Sejarah” benar-benar melondehkan perangai hipokrit mereka dalam dakwah. 

Gerakan dakwah Islamis ini seolah-olah mahu mengajar masyarakat Melayu Islam yang memakai tudung itu sinonim dengan simbol ajaran agama Islam dan wanita solehah. 

Masyarakat Melayu Islam akan mudah beranggapan terhadap dakyah islamisasi ini bahawa inilah pakaian yang diajar dalam agama sebenar-benarnya. Sedangkan hal tersebut cuma khilaf. 

Kita bimbang semangat islamisasi sembrono tanpa menyuburkan keluasan semangat ilmu seperti ini bukan menjadi agenda memandaikan umat sebaliknya melahirkan umat yang melatah, jahil toleransi dan angkuh atas nama agama. 

Pemikiran sempit

Jika kita bangga dan mendabik dada kerja dakwah islamisasi mengenakan tudung ini berjaya mengubah fenomena budaya beragama dalam masyarakat Melayu hari ini sehingga terbit pemikiran yang bertudung adalah sesuatu perintah wajib digayakan dalam kalangan wanita Melayu Islam, kita patut rasa malu dan muhasabah apabila wujudnya budaya masyarakat beragama Melayu Islam hari ini yang mempunyai salah faham terhadap pengamalan bertudung – akibat tidak cermatnya dakwah kita tentang soal hukum ini.

Lihatlah baru-baru ini, sedih mengenangkan pemikiran minda beragama masyarakat Melayu Islam hari ini.

Kematian pelakon terkenal dan seorang yang baik iaitu Adibah Noor dihukum, dan dicaci dengan soal tidak pakai tudung oleh sebahagian masyarakat beragama berbanding kerja mulia kemanusiaannya. Begitulah jadinya apabila masyarakat obses mengambil alih kerja Tuhan. 

Orang Melayu Islam terus hanyut dibuai rasa angkuh dan takbur serta perasan paling beragama lalu tidak habis-habis membanding-bandingkan soal aurat tudung dalam kehidupan. Mereka dididik sejak kecil bahawa rambut wanita itu aurat.

Maka wajib mengenakan tudung. Terdedah sehelai rambut maka neraka tempatnya.

Kita kehilangan seorang artis dan pelakon yang banyak menyumbangkan kerja-kerja kemanusiaan.

Namun akibat bius islamisasi yang menebal dalam minda masyarakat Melayu Islam telah menampakkan betapa dahsyatnya kesan kerja-kerja dakwah islamisasi mengenai soal tudung, yang akhirnya membarah kepada pemikiran jijik dan sempit dalam beragama. 

Umat terus dialpakan soal hukum tudung berbanding soal kemanusiaan. Sebahagian masyarakat Melayu Islam  hilang langsung empati dan sifat manusiawi dalam diri.

Justeru, masyarakat buta melihat sisi-sisi kebaikan sebaliknya menjadi penghukum. 

Apakah ajaran agama Islam mengajarkan begitu?

Aneka pandangan

Dalam tradisi memahami tafsiran al-Quran dan hadis, para ulama sangat berhati-hati mengeluarkan pandangan.

Mereka tahu sesuatu tafsiran itu boleh diperdebatkan dan diperbincangkan selagi mana ia masih bersifat zanni (sangkaan).

Ada ulama sangat berhati-hati menyatakan pendiriannya sehingga bimbang pandangan itu menimbulkan fitnah sekali gus Islam dilihat kaku dan keras.  

Sudah banyak dalam lembaran kitab dan perbahasan, sama ada kitab tradisi dan kontemporari, diperdebatkan soal tudung dan aurat.

Dalam bahasa Arab disebut jilbab. Sekiranya kita benar-benar jujur dan berbekalkan sedikit sifat keterbukaan, pasti kita temui pelbagai aneka pandangan ulama mengenai jilbab. 

Para agamawan hari ini harus rajin menyelak pandangan-pandangan ulama kontemporari mengenai soal ini.

Rujuklah juga pandangan para ulama seperti Tahir Ibn Asyur, Muhammad Said Al-Asymawi, Qasim Amin, Taher al Haddad, Muhammad Abduh, Rashid Rida, Muhammad Syahrur, ‘Ali as-Sais, ‘Ali al-Hassan.

Sudah tentu para ulama tersebut melihat ketetapan hukum berdasarkan adat istiadat sesuatu tempat.

Faktor budaya dan sosiologi. Termasuklah asbab penurunan ayat al-Quran. Bukan dibaca secara literal.

Kerana itu tidak mudah untuk kita mengabaikan pandangan-pandangan yang pelbagai ini dalam soal mengenakan tudung dan aurat. Kerana masing-masing ada hujah dan dalil yang kuat.

Jangan disebabkan semangat kencang berdakwah kita sampai tidak punya masa menyemak pandangan-pandangan ini.

Perkenalkan kepada masyarakat Melayu Islam pandangan-pandangan tersebut agar umat jadi lebih pandai dan mudah bertoleransi sekali gus mengerti betapa inklusifnya hukum tersebut dalam perbahasan ulama. 

Kesannya, mereka tidak taksub pada satu-satunya pandangan dan mudah-mudah menghukum pandangan orang lain sesat.

Maka, para ulama mempunyai pandangan masing-masing. Ada pandangan mengharuskan memakai tudung.

Sebahagian lain punya pendapat yang berbeza. Yang pasti kedua-duanya tidak memaksa untuk umat menentukan pilihan yang mana.

Mereka tidak mahu ketetapan hukum zanni agama diikat dengan satu-satu pandangan sahaja.

Mereka tidak memaksa mengikuti pendapatnya sahaja tetapi mengajak pandangan mereka boleh diperbaharui dan diubah mengikut kesesuaian masa, konteks sosial budaya dan dimensi pemikiran manusiawi yang meluas. 

Justeru, dalam soal mengenakan tudung dan makna aurat bagi wanita, al-Quran tidak ada jawapan konkrit. Kerana itu ulama terus berbeza pendapat.

Tetapi kita pula suka-suka menetapkan seolah-olah hukum tersebut sudah disepakati tanpa ada khilaf. 

Belas kasih Tuhan

Jangan kita lupa, sifat rahmat Allah di akhirat kelak akan menimbang keadilan setiap amal kebaikan tidak kira siapa dan pakaian apa dipakai di dunia ini. Jangan sempitkan kefahaman agama bahawa tidak bertudung dihukum ke dalam neraka. 

Mereka lupa kisah terkenal hadis sahih bahawa amalan kebaikan walau seorang pelacur memberi minum kepada anjing kehausan itu diampun dosanya oleh Tuhan.

Bukankah kisah itu tanda betapa sayangnya Allah dan Maha Pengasih kepada hamba-Nya?

Mengapa kita cuba-cuba mahu mengkhianati belas kasih Tuhan dengan mengajarkan kepada umat tentang pemahaman agama yang sempit?

Sekiranya usaha dakwah dan kerja memandaikan umat diperturunkan dengan ilmu dan kejujuran, semestinya kita tidak akan melahirkan golongan jijik taksub beragama.

Kerana orang yang waras dalam beragama, mereka tidak melecehkan orang tidak bertudung kerana tahu betapa Rahmat Tuhan terbentang luas 1,001 pintu amalan kebaikan dan kebajikan.

Bukan dinilai soal pakai tudung atau tidak. Apatah lagi hukum tudung hanya khilaf.

Mengapa kita gagal melahirkan masyarakat yang waras dalam beragama?

Bahana Islamisasi

Inilah barah islamisasi yang dipuja dan dibanggakan oleh Abim, sebagaimana ditulis dalam artikel tersebut bahawa dekad 1960 dan 1970 an masyakarat kita dipengaruhi pakaian ala Barat dan mula berubah kepada pemakaian Melayu Islam di Malaysia pada tahun 1970-an dan seterusnya. 

Hal ini dinyatakan kesan dakwah islamisasi seperti Abim. 

Bukan itu sahaja, malah Gerakan dakwah ini aktif bergerak di kampus-kampus dan mendesak para jururawat memakai pakaian seragam menutup aurat yang direka sendiri oleh ABIM. Sehingga itu budaya pemakaian tudung melebar luas.

Mereka terus sibuk soal tudung. Seolah-olah tidak pakai tudung dianggap jahil dalam beragama. Tidak sopan. Gagal menjadi wanita solehah. Buanglah kefahaman keruh dan jijik ini dalam minda beragama masyarakat Melayu Islam hari ini.

Sedarlah wahai para islamis, kerja-kerja dakwah anda sebenarnya membelakangi prinsip kebebasan Islam yang universal dan kedinamikan hukum Islam yang inklusif.

Abim patut berasa malu dengan slogan Islam kontemporarinya itu. Ironinya sangat jahil untuk menampilkan nilai Islam inklusif. 

Pemakaian tudung adalah isu khilaf. Tidak perlu mengajar umat seolah-olah memakai tudung sebagai lambang ketamadunan acuan Islam sebenar.

Jangan paksa dan tentukan pilihan hukum agama yang khilaf. Biarlah mereka tentukan mengikut keselesaan dan tafsiran mereka berpandukan pilihan hukum dalam beragama seperti yang dikhilafkan oleh ulama.

Berhentilah terus menerus bercakap mengenai dakyah islamisasi tudung ini. Sebaliknya sibukkan menanam nilai-nilai ilahi dalam masyarakat dengan pelbagai pilihan alternatif yang menampilkan agama begitu luas dan mudah.

Soalnya, di manakah kewibawaan dan kejujuran ilmu kalangan agamawan ahli Abim sekiranya masih timbul isu pemakaian bertudung atau tidak dan masih menjadi agenda utama dakwah gerakan Islam ini sehingga melahirkan masyarakat Melayu Islam yang berfahaman sempit mengenai soal tudung?

Abim harus tumpu kepada kerja-kerja memandaikan umat dalam urusan soal kemanusiaan. Bukan mendidik umat mengambil kerja Tuhan! – 23 Jun, 2022.
 

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen