PM umum bantuan kewangan tambahan bagi B40


Elill Easwaran

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Jun, 2022.

KERAJAAN akan memberi bantuan tunai tambahan sebanyak RM100 setiap isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang dalam kumpulan B40, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Sebelum ini penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) mendapat sehingga RM400 tetapi kini mereka layak menerima sehingga RM500.

“Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersama bayaran BKM Fasa 2 itu membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM630 juta,” katanya pada sidang media hari ini.

Menurutnya, penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini.

“Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my,” katanya.

BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Bajet 2022 untuk memberi manfaat kepada kumpulan B40.

Ismail Sabri berkata, bayaran itu bagi meringankan beban kewangan rakyat.

Awal hari ini, Pakatan Harapan berkata Putrajaya mesti mengumumkan dalam tempoh 24 jam langkah untuk membantu rakyat Malaysia menghadapi kenaikan kos sara hidup, lebih-lebih lagi kerana harga ayam dan minyak masak dijangka meningkat mulai 1 Julai.

Pakatan pembangkang berkata, ia bersedia untuk menggerakkan rakyat menyatakan rasa tidak puas hati mereka jika kerajaan gagal mengumumkan sebarang langkah, kata majlis presiden gabungan itu dalam satu kenyataan.

Pada Januari tahun ini, menteri kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, program BKM dijangka memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima pada 2022 dengan peruntukan RM8.2 bilion.

Ismail Sabri hari ini berkata, jumlah tambahan itu akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima daripada 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang. – 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen