Bandar Buddha purba Afghanistan diancam syarikat lombong China


Sbuah patung Buddha tanpa kepala yang ditemui di dalam biara purba di Mes Aynak, di wilayah timur Logar. Ahli arkeologi bimbang biara Buddha berusia 2,600 tahun itu mungkin akan musnah sebahagian besarnya sebaik kerja di lombong bermula. – Gambar AFP, 22 Jun, 2022.

SEBUAH bandar Buddha purba yang diukir daripada gunung besar berhampiran Kabul sedang diancam syarikat China yang mengeksploitasi salah satu deposit tembaga terbesar di dunia.

Terletak di titik temu budaya Hellenistik dan India, Mes Aynak - dipercayai berusia antara 1,000 dan 2,000 tahun - dahulunya merupakan sebuah bandar besar sekitar kawasan perdagangan tembaga.

Ahli arkeologi telah menemui biara Buddha, stupa, kubu, bangunan pentadbiran dan kediaman, manakala ratusan patung, lukisan dinding, seramik, syiling dan manuskrip turut telah digali.

Walaupun dirompak pada awal abad ini, Mes Aynak merupakan “salah satu tapak arkeologi yang paling indah” di dunia, kata Bastien Varoutsikos, ahli arkeologi syarikat Perancis Iconem, yang sedang berusaha untuk mendigitalkan bandar dan warisannya.

Tetapi Taliban - yang kembali berkuasa pada Ogos tahun lalu - yang sedang mencari pendapatan baharu selepas bantuan antarabangsa dibekukan telah menjadikan perlombongan projek itu sebagai keutamaan, malah dijangka akan hentikan kerja arkeologi di situ.

Konsortium perlombongan

Objek yang ditemui bertarikh terutamanya dari abad ke-2 hingga ke-9 Masihi, tetapi petempatan yang lebih awal juga dipercayai telah wujud sebelum itu, malah tembikar Zaman Gangsa - jauh sebelum kelahiran agama Buddha - juga telah ditemui.

Dilupakan selama berabad-abad sebelum ditemui semula oleh ahli geologi Perancis pada awal 1960-an, Mes Aynak, di wilayah Logar, telah dibandingkan dengan Pompeii dan Machu Picchu dari segi saiz dan kepentingannya.

Runtuhan itu, yang meliputi 1,000 hektar, terletak tinggi di puncak besar yang bahagian tepi coklatnya menunjukkan kehadiran tembaga.

Tetapi pada 2007 gergasi perlombongan China Metallurgical Group Corporation (MCC) mengetuai konsortium milik kerajaan - yang kemudiannya menggunakan nama MJAM - dan menandatangani kontrak AS$3 bilion untuk melombong bijih selama 30 tahun.

Lima belas tahun kemudian, lombong itu masih tidak wujud - ketidakamanan dan perselisihan faham antara Beijing dan Kabul tentang syarat kewangan kontrak telah menyebabkan projek itu tertunda.

Bagaimanapun, projek itu sekali lagi menjadi keutamaan bagi kedua-dua pihak dan perbincangan sedang berjalan tentang cara untuk meneruskan. – AFP, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen