Jokowi akan lawat Kyiv, Moscow bulan ini


Presiden Indonesia Joko Widodo dijangka melawat Moscow dan Kyiv bulan ini sebagai usaha untuk menangani krisis makanan global yang diburukkan lagi oleh konflik Rusia-Ukraine. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

PRESIDEN Indonesia dan pengerusi G20 Joko Widodo (Jokowi) akan melawat pemimpin Ukraine dan Rusia bulan ini bagi membincangkan kesan ekonomi dan kemanusiaan berikutan pencerobohan Moscow, kata menteri luarnya pada Rabu.

Sidang kemuncak kumpulan 20 ekonomi utama itu - yang akan diadakan di Bali pada November - telah diselubungi kontroversi selepas Jakarta menjemput Rusia yang didakwa melakukan jenayah perang di Ukraine.

Berikutan itu, Indonesia telah mendapat tekanan daripada beberapa negara Barat, dikepalai Amerika Syarikat, untuk mengecualikan Rusia daripada persidangan itu.

Menteri Luar Retno Marsudi berkata Jokowi akan melawat Kyiv dan Moscow selepas mewakili Indonesia sebagai negara tetamu pada sidang kemuncak G7 di Jerman pada 26 dan 27 Jun, menjadi pemimpin Asia pertama yang pergi ke kedua-dua negara sejak pertempuran bermula.

“Dalam lawatan ke Kyiv dan Moscow, presiden akan bertemu dengan Presiden (Volodymyr) Zelensky dan Presiden (Vladimir) Putin,” kata Marsudi dalam sidang media pada Rabu.

Marsudi tidak menyatakan tarikh pertemuan Jokowi itu tetapi menteri keselamatannya, Mahfud MD, dipetik media kerajaan pada Isnin sebagai berkata pemimpin Indonesia itu akan bertemu Putin pada 30 Jun.

Laporan oleh agensi berita negara Rusia Tass awal bulan ini, memetik sumber kerajaan, mengumumkan tarikh yang sama.

Dalam pada itu menteri luar berkata Jokowi akan berusaha untuk menangani krisis makanan global yang diburukkan lagi oleh perang di Ukraine, yang mencekik pasaran global dan menyebabkan kekurangan minyak masak domestik dan lonjakan harga bagi rakyat Indonesia.

“Lawatan presiden menyerlahkan kebimbangan (Indonesia) mengenai isu kemanusiaan, cuba menyumbang untuk menyelesaikan krisis makanan yang disebabkan oleh perang, serta kesannya,” katanya.

Kesan terhadap Indonesia - pengeluar minyak sawit terbesar dunia - mendorong kerajaan untuk mengenakan larangan eksport komoditi itu pada April.

Indonesia, seperti kebanyakan ekonomi sedang pesat membangun utama, telah cuba mengekalkan kedudukan neutral dalam perang dan telah menggesa penyelesaian secara aman konflik itu.

Jokowi juga enggan menghantar senjata ke Ukraine sebagai respons kepada permintaan Zelensky, sebaliknya menawarkan bantuan kemanusiaan.

Indonesia telah menjemput Ukraine sebagai ahli tetamu sidang kemuncak G20. Zelensky berkata beliau akan menghadiri sekurang-kurangnya dalam kapasiti maya, bergantung pada status perang. – AFP, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen