Keputusan kerakyatan anak wanita tempatan lahir luar negara 5 Ogos


Elill Easwaran

MAHKAMAH Rayuan akan memutuskan pada 5 Ogos jika anak kepada ibu rakyat Malaysia dan bapa warga asing yang dilahirkan di luar negara boleh menjadi rakyat Malaysia secara automatik.

Tarikh itu diumumkan selepas mahkamah hari ini menerima hujah tambahan daripada kerajaan yang merayu keputusan Mahkamah Tinggi memberikan kanak-kanak itu hak automatik warganegara melalui ibu rakyat Malaysia.

Presiden Family Frontiers Suriani Kempe, salah seorang daripada ibu-ibu tersebut, mengumumkan tarikh 5 Ogos untuk keputusan mahkamah rayuan itu dalam sidang media selepas prosiding dalam talian hari ini.

“Keenam-enam ibu yang menjadi pemohon telah mendapat hak kerakyatan buat anak mereka, tetapi kami mahu mahkamah menjadikan ini sama rata untuk semua ibu lain yang sama ada belum mengemukakan permohonan mereka, atau yang sedang memohon,” kata Suriani.

Peguam Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili ibu-ibu itu berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menulis dan membangkitkan satu perkara baharu dalam hujahan mereka, yang disebutnya “mengejutkan”.

“Mereka dakwa anda tidak boleh pinda perlembagaan untuk membenarkan diskriminasi jantina diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan,” kata Gurdial.

Melalui saman pemula yang difailkan pada 18 Disember tahun lepas, mereka memohon enam perintah mahkamah termasuk deklarasi bahawa Seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua, Bahagian II Perlembagaan Persekutuan dibaca bersama dengan Perkara 8 (2) bagi memasukkan ibu rakyat Malaysia sebagai syarat untuk bayi yang dilahirkan di luar negara diberikan kerakyatan Malaysia secara automatik.

AGC berhujah yang Perkara 8(2) mengenai antidiskriminasi atas pelbagai alasan, termasuk jantina, tidak boleh dianggap sebagai ibu dan bapa, sedangkan hanya perkataan “bapa” digunakan.

Hak kerakyatan di bawah Perlembagaan Persekutuan menyatakan anak yang dilahirkan oleh bapa rakyat Malaysia boleh menjadi warganegara.

Ini adalah premis kepada keputusan Mahkamah Tinggi September tahun lepas apabila membuat keputusan memihak kepada enam ibu tersebut. Hakim Akhtar Tahir memutuskan perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan perlu bermaksud dan termasuk ibu.

Kes ini mula dibicarakan pada 2020.

Suriani dalam pada itu berkata dasar diskriminasi kerajaan jelas bertentangan dengan slogan #KeluargaMalaysia Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Sudah tiba masanya ibu-ibu Malaysia mendapat hak yang sama dalam pemberian kerakyatan kepada anak-anak mereka, tidak kira di mana mereka dilahirkan.”

Bekas timbalan menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Hannah Yeoh yang turut hadir pada sidang media itu berkata Jabatan Pendaftaran Negara sepatutnya menjalankan tanggungjawab sewajarnya kepada rakyat Malaysia.

“Jabatan Pendaftaran Negara dibiayai oleh pembayar cukai. Saya tidak percaya pembayar cukai mahu ibu-ibu Malaysia ini menderita.

Tambahnya, jika Ismail Sabri serius dengan #KeluargaMalaysia, beliau harus mengarahkan menteri dalam negeri supaya tidak menolak permohonan ibu dalam keadaan ini. – 22 Jun, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen