INDONESIA semalam menghantar pulang seorang suspek yang melarikan diri susulan didakwa menjadi dalang skim penipuan membabitkan dana kerajaan dan bantuan subsidi Covid-19 di Jepun, kata pihak berkuasa.
Mitsuhiro Taniguchi, 47, dibawa ke hadapan media di pejabat imigresen di Jakarta dan dihantar pulang ke Tokyo menerusi penerbangan awal pagi Japan Airlines, selepas ditahan pada bulan ini.
Warganegara Jepun itu dan beberapa rakan subahatnya didakwa menghantar permohonan palsu untuk menuntut AS$7 juta dana bantuan Covid-19 bagi perniagaan kecil, menurut media Jepun.
Suspek dihantar pulang ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita.
“Dia dihantar pulang kerana tidak ada permit penduduk dan pasportnya ditamatkan oleh kerajaan Jepun,” kata pegawai imigresen Douglas Orlando Andreas Simamora.
“Namanya akan tersenarai dalam nama individu yang dilarang masuk.”
Pejabat imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta dalam satu kenyataan berkata “MT”, merujuk kepada nama suspek, sudah dihantar pulang.
Taniguchi ditahan dalam operasi bersama antara polis tempatan dan pegawai imigresen pada 7 Jun di Sumatera selepas dikesan oleh kedutaan Jepun dan pasportnya dibatalkan di Tokyo.
Dia dilaporkan masuk ke Indonesia pada Oktober 2020, beberapa bulan selepas penipuannya dibongkar polis Jpeun.
Pelarian itu menggunakan visa terhad dan bekerja sebagai pelabur asing di negara ini, membantu penduduk tempatan menjalankan ladang ternakan ikan. – AFP, 22 Jun, 2022.
Komen