SEORANG suspek pengedar dadah yang dikenali sebagai “Pablo Escobar Brazil” ditahan di Hungary semalam selepas lebih setahun melarikan diri, kata polis negara Amerika Selatan itu.
Sergio Roberto de Carvalho, dikenali sebagai “Mayor Carvalho” ditahan dalam satu kerjasama antara Interpol dan polis Hungary, kata polis persekutuan Brazil dalam satu kenyataan, menyifatkan suspek sebagai pengedar dadah terbesar di dunia.
Menurut media Brazil, Carvalho ialah bekas polis yang menetap di Eropah menggunakan identiti palsu.
Dia ditahan di Sepanyol tetapi selepas dibebaskan dengan ikat jamin, dia memalsukan kematiannya menerusi Covid-19 pada 2020 dan lesap daripada radar, menurut laporan TV Globo tahun lalu.
Polis berkata lebih AS$100 juta dirampas daripada organisasi jenayah dipercayai diketuai Carvalho.
Organisai itu didakwa menyeludup bertan-tan kokain ke Eropah menerusi Brazil dan melakukan pengubahan wang haram terhadap keuntungan aktiviti itu. – AFP, 22 Jun, 2022.
Komen