SENATOR Amerika Syarikat (AS) membentangkan rang undang-undang (RUU) menangani keganasan senjata api yang kian mengancam negara itu.
Walaupun tiada pindaan drastik, usaha mereka meminda undang-undang menjadi lebih ketat, dipuji sebagai kawalan senjata api persekutuan yang pertama dalam satu generasi.
Kumpulan rentas parti yang bertungkus lumus selama berminggu-minggu untuk pindaan RUU itu yakin ia akan mendapat sokongan kedua-dua parti untuk membolehkannya dibawa kepada Presiden Joe Biden seawal minggu depan.
“Perundangan keselamatan senjata api dua parti ini menunjukkan perkembangan yang akan menyelamatkan nyawa.
“Walaupun ia bukan segala-galanya yang dimahukan, undang-undang ini amat diperlukan,” kata ketua Senat Demokrat Chuck Schumer dalam satu kenyataan.
Anggota Senat dan Kongres juga sedar kelewatan meluluskan pindaan itu meningkatkan risiko pembunuhan seperti tragedi yang mengorbankan 19 kanak-kanak di Uvalde, Texas dan 10 warga kulit hitam di sebuah pasar raya di Buffalo, New York, bulan lalu.
Pindaan undang-undang kawalan senjata api persekutuan kali terakhir diluluskan pada 1994, yang mengharamkan pembuatan senapang serangan dan klip peluru berkapasiti besar untuk kegunaan awam.
Namun, ia tamat tempoh sedekad kemudian dan tidak ada usaha serius untuk melakukan pembaharuan sejak itu, walaupun purata harian kes tembakan besar-besaran meningkat dalam tempoh 11 tahun ini, menurut Arkib Keganasan Senjata.
Kumpulan Senator dwipartisan bersetuju dengan rangka kerja pada 12 Jun lalu, merangkumi pemeriksaan latar belakang yang diperketatkan untuk pembeli bawah 21 tahun dan pembiayaan kesihatan mental dan program keselamatan sekolah. – AFP, 22 Jun, 2022.
Komen