Bill Cosby didapati bersalah cabul remaja pada 1975


Bill Cosby sebelum ini dipenjarakan di Pennsylvania kerana menggunakan dadah terhadap seorang wanita dan mencabulnya dalam satu kes jenayah berasingan pada 2018. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

BARISAN juri di California semalam mendapati Bill Cosby bersalah menyerang seorang remaja di Playboy Mansion hampir 50 tahun lalu.

Ia kes sivil pertama disabitkan membabitkan penghibur veteran itu yang dikaitkan dalam berpuluh-puluh tuduhan hampir serupa.

Judy Huth, kini berusia 64 tahun, diberikan pampasan AS$500,000 selepas juri di mahkamah di Santa Monica sepakatan mendapati Cosby mencabulnya pada 1975 ketika berusia 16 tahun selepas pertemuan di set penggambaran dan memberinya alkohol.

Kes itu satu-satunya tindakan undang-undang yang berjaya diambil terhadap Cosby, 84, yang didakwa menggunakan kemahsyurannya untuk melakukan serangan seksual terhadap wanita sejak berdekad lalu.

Cosby yang pernah digelar “Bapa Amerika” dipenjarakan di Pennsylvania kerana menggunakan dadah terhadap seorang wanita dan mencabulnya dalam satu kes jenayah berasingan pada 2018.

Dia kemudian dibebaskan tahun lalu selepas sabitannya dibatalkan atas kesilapan teknikal.

Selepas dua minggu perbicaraan kes sivil itu berlangsung, di mana Cosby tidak hadir prosiding, peguam berkata dia membawa Huth dan rakan mangsa ketika itu Donna Samuelson berusia 17 tahun, ke rumah agam milik Hugh Hefner selepas bertemu mereka di set penggambaran.

Juri mendengar keterangan mangsa di mana pelakon itu mula menciumnya dan cuba memasukkan tangan ke dalam bajunya.

Dalam keterangan di mahkamah, Huth berkata Cosby menanggalkan seluar dan memaksanya melakukan perbuatan seksual.

Peguam Nathan Goldberg yang mewakili Huth berkata sejak bertahun lamanya anak guamnya itu cuba melupakan memori serangan itu tetapi akhirnya tampil membongkar semuanya selepas wanita lain mulai menuduh Cosby menyerang mereka. – AFP, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen