Presiden Malawi tarik kuasa timbalannya


Presiden Malawi Lazarus Chakwera menarik semua kuasa Naib Presiden Saulos Chilima susulan siasatan skandal rasuah. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

PRESIDEN Malawi Lazarus Chakwera menarik semua kuasa Naib Presiden Saulos Chilima susulan dikaitkan dengan skandal rasuah yang menggemparkan negara itu.

Siasatan kes penipuan dilakukan Biro Anti Rasuah (ACB) mendapati 53 penjawat awam yang masih bertugas dan tamat tugas menerima wang daripada ahli perniagaan Zuneth Sattar antara Mac dan Oktober 2021, kata Chakwera.

Sattar disiasat di Britain dan Malawi atas tuduhan rasuah, penipuan dan pengubahan wang haram.

Menurut perlembagaan Malawi, Chakwera tidak boleh menggantung tugas atau memecat Chilima kerana beliau pegawai yang dipilih.

“Apa yang boleh saya buat sekarang ialah menarik balik tugas yang diberikan kepadanya sementara menunggu siasatan selesai,” kata Chakwera.

Setakat ini tiada maklum balas daripada Chilima, yang bergabung dengan Chakwera untuk memenangi pilihan raya presiden 2020 atas perjuangan anti rasuah.

Chilima turut menyertai Chakwera ketika mencabar penipuan pilihan raya pada 2019, yang membawa kepada mahkamah memerintahkan pilihan raya diadakan pada tahun berikutnya di mana Chakwera menewaskan Peter Mutharika.

Chakwera turut memecat ketua polis negara George Kainja, yang tertangkap menerusi satu rakaman, sedang berbincang tentang rasuah dengan Sattar.

Presiden turut menggantung tugas ketua stafnya dan pengerusi direktori pemerolehan yang turut disebut nama dalam laporan ACB. – AFP, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen