Kanak-kanak antara korban banjir di Ivory Coast


Antara Isnin dan Selasa, ada kawasan di Abidjan menerima kira-kira 200milimeter hujan, iaitu jumlah sama bagi tempoh hujan beberapa minggu, menurut data agensi meteorologi. – Gambar EPA, 22 Jun, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA lima terbunuh termasuk empat kanak-kanak dalam hujan lebat sepanjang malam hingga menyebabkan banjir di Abidjan, Ivory Coast, menurut pihak berkuasa kecemasan.

“Kami dihubungi sejak seawall 3 pagi. Malangnya lima individu termasuk empat kanak-kanak, maut,” kata ketua jabatan bomba Jeneral Issa Sacko.

“Kanak-kanak terbabit meninggal dunia kerana tanah runtuh, sementara seorang dewasa dihanyutkan air deras di kawasan Bingerville.”

Beliau berkata 85 mangsa berjaya diselamatkan dan seorang sedang dirawat di hospital, sementara bangunan yang dikhuatiri akan runtuh, kini dikosongkan.

Hujan lebat sepanjang malam menyebabkan kebanyakan kawasan dinaiki air dan jalan raya utama terpaksa ditutup.

Di Bingerville, penduduk membersihkan rumah selepas air surut.

Antara Isnin dan Selasa, ada kawasan di Abidjan menerima kira-kira 200milimeter hujan, iaitu jumlah sama bagi tempoh hujan beberapa minggu, menurut data agensi meteorologi.

Minggu lalu, enam maut selepas hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di Mossikro. – AFP, 22 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen